Sarawak United benam Kedah 2-1

SKUAD Sarawak United FC (SUFC) melaungkan amaran awal, terhadap pencabar dalam Liga Premier setelah menumbangkan skuad Liga Super, Kedah 2-1 dalam aksi persahabatan baru-baru ini.

Walaupun ketinggalan 1-0 pada awal saingan, namun SUFC bangkit dengan dua ledakan gol, melalui Gopi Rizqi dan Tommy Mawat.

Ia merupakan aksi persahabatan kompetitif kedua buat SUFC yang sebelum ini terikat 1-1 dengan Sabah FC, juga skuad Liga Super.

Bagi jurulatih SUFC, E. Elavarasan ia merupakan perkembangan positif buat anak-anak buahnya.

“Keserasian pemain telah membuahkan hasil. Para pemain menunjukkan kombinasi mantap pada babak kedua.

“Situasi ini membolehkan kita mengawal permainan,” ujarnya.

“Namun kita perlu berusaha lebih gigih lagi untuk meningkatkan prestasi sebelum sepak mula Liga Premier 2021,” ujar Elavarasan.

SUFC akan membuka tirai saingan Ahad ini, menentang Kelantan United.

Yang pasti, dua aksi kompetitif, amat bermakna buat SUFC sebelum saingan sebenar bermula.

Mereka hanya dua minggu membuat persiapan, ekoran pandemik Covid-19, dan menjadikan sekitar Kuala Lumpur sebagai gelanggang utama.

SUFC diperkuatkan dua lagi muka baharu, iaitu Uche Agba dari Nigeria, serta bekas penjaga gol Malaysia, Sharbinee Alwi.

Suara Sarawak