Sarawak United FC di Asajaya malam ini

PRESIDEN Sarawak United FC (SUFC), Datuk Posa Majais menjelaskan, mereka mengadakan majlis memperkenalkan pemain dan jersi baharu pasukan di luar bandar adalah atas permintaan peminat dan penyokong setia.

Ia akan diadakan esok (Rabu) di Dataran Asajaya pada jam 7.30 malam.

Ia merupakan kali pertama pasukan Sarawak mengadakan majlis tersebut di luar bandar.

“Sebelum ini kita tidak pernah mengadakannya di luar bandar.

“Oleh itu kita beri peluang kepada para peminat bola sepak tempatan di luar bandar untuk bertemu pasukan SUFC,” kata Posa.

SUFC dikendalikan oleh jurulatih baharu, E. Elavarasan yang cukup berpengalaman di pentas Liga Malaysia.

Beliau pernah membimbing beberapa pasukan dalam Liga Super dan Liga Premier sebelum ini, misalnya PDRM dan PKNS.

Manakala pemain bintang import ternama yang akan menyerikan majlis malam ini ialah Patrick Ronaldinho, serta bekas penyerang Malaysia, Selangor dan JDT, Amri Yahyah, bekas bintang Kuala Lumpur, Ashri Chuchu dan bekas pemain JDT, S. Chanturu.

Untuk memeriahkan lagi acara, penyanyi ternama dari Semenanjung, Ameng Spring akan menghiburkan orang ramai.

Dijangkakan ribuan penduduk akan membanjiri Dataran Asajaya malam ini.

Sementara itu, aksi persahabatan SUFC-Melaka United di Stadium Sarawak Ahad lalu menyaksikan sekitar 7,000 penonton yang hadir. SUFC kalah 4-1. Gol tunggal SUFC dijaringkan oleh Ronaldinho.

SENARAI SKUAD SARAWAK UNITED FC

PENJAGA GOL: Mohamad Firdaus Muhd, Saiful Wazizi dan Farhan Abu Bakar.
PERTAHANAN: Farid Azmi, Abdul Rahman Ismawi, Azreen Zulkafli, Ali Imran Alimi, Syukri Azman, Muhd Farid Ramli, Nicholas Marotta, Sanjev Dinesh Baskeran dan Adam Shreen.

TENGAH: Mohd Muzaimir Abdu Hadi, Norazizi Ramlee, Mohd Badrul Affendy Mohd Fadzil, Amri Yahyah, Fauzi Roslan, S. Veenod dan Alif Hassan.

PENYERANG: Patrick Ronaldinho, S. Chanturu, Ashri Chuchu, Alan Lagang Keryer, Yusaini Hafiz, Zahrul Nizwan dan Rahim Razak.

JURULATIH: E. Elavarasan.

Suara Sarawak