Sarawak United, Sabah FC terikat

SKUAD Liga Premier, Sarawak United FC (SUFC) terikat 1-1 ketika menentang skud Liga Super, Sabah FC dalam aksi persahabatan di Kuala Lumpur malam kelmarin.

Sabah mendahului pada babak pertama melalui sepakan penalti, bekas pemain Sarawak, Bobby Gonzales.

Namun SUFC menyamakan kedudukan pada babak kedua, juga menerusi sepakan penalti, pemain import dari Korea Selatan, Lee Chang Hoon.

Sabah yang turut diperkuatkan oleh seorang lagi bekas penyerang Sarawak, Amri Yahyah melakukan sekitar empat hingga lima cubaan bahaya pada babak pertama, namun gagal menemui jaringan.

SUFC yang agak bertahan pada babak pertama cuba bangkit pada separuh masa kedua, namun hanya mampu menjaringkan gol penyamaan.

SUFC sepatutnya mendahului 2-1 pada minit ke-88, namun cubaan dari dalam petak penalti, Norshahrul Idlan Talaha ditepis penjaga gol Sabah.

SUFC dibarisi beberapa pemain handalan seperti Taylor Regan, Lee Chang-Hoon, Norshahrul Idlan Talaha, Gopinathan, Nor Shamie Iszuan, Ashri Chuchu dan beberapa pemain lagi.

Ia merupakan aksi kompetitif pertama SUFC di bawah bimbingan E. Elavarasan dan dibantu oleh Safri Amit.

SUFC akan menentang satu lagi pasukan Liga Super, Kedah Sabtu ini.