Sarawak United serba mantap!

SKUAD Sarawak United FC (SUFC) akan tampil serba mantap dengan kehadiran beberapa bintang ternama, serta pemain disegani di Malaysia.

Mereka ialah bintang dari Brazil, Sandro Mendoca yang pernah menyertai Selangor dan Kedah. Turut disenaraikan ialah penyerang Malaysia, Norshahrul Idlan Talaha dan bekas kapten Selangor, Taylor Regan.

Malah bekas bintang Pulau Pinang, Lee Chang Hoon dari Korea Selatan turut memperkuatkan pasukan.

Manakala barisan pemain tempatan ialah Ashri Chuchu, Tommy Mawat, Nor Shamie Iszuan, Alan Lagang Keryer, Abdul Rahim Abdul Razak, Abdul Rahman Ismawi, Zahrul Nizwan, Aquila Abdul Rahman serta bekas penjaga gol UiTM FC, Mohd Nor Haziq Mohd Aris.

Dalam kenyataan media semalam, Presiden SUFC, Datuk Posa Majais menjelaskan; “Tahun 2020 merupakan tahun yang sukar bagi SUFC dan kesannya sudah pasti dapat dirasai menjelang musim 2021.

“Justeru, pengurusan SUFC telah merangka pelan strategik jangka pendek dengan mengambil kira sasaran daripada para penyokong khususnya rakyat Sarawak yang mahukan SUFC mencabar kejuaraan Liga Perdana atau sekurang-kurangnya naik ke Liga Super 2022.

“Bagi mencapai sasaran itu, kami menyedari kepentingan untuk melipatgandakan usaha bagi menarik khidmat pemain-pemain yang boleh membantu SUFC naik ke Liga Super 2022”.

“Kami mempunyai tanggungjawab kepada para penyokong, pemegang taruh, penaja dan negeri Sarawak untuk memastikan ‘The Golden Hornbills’ memacu Sarawak mencapai kejayaan di arean bola sepak.”

Dalam pada itu, SUFC juga mengekalkan khidmat ketua jurulatih E. Elavarasan yang berjaya menarik minat beberapa pemain hebat dalam Liga Malaysia untuk beraksi bersama SUFC.

“Pengurusan SUFC telah menetapkan sasaran mereka dan saya menggunakan formula saya untuk menarik pemain- pemain ternama ini,” kata Elavarasan.

“Namun kami juga mengekalkan anak jati Sarawak yang telah beraksi dengan baik pada musim lalu serta membawa beberapa pemain muda Sarawak yang berpotensi membawa pasukan ini lebih berjaya pada masa akan datang,” jelasnya.

Beliau menambah prinsip pasukan untuk musim 2021 ialah gabungan antara penyerang import yang sesuai dengan corak permainan SUFC untuk musim 2021.

“Saya telah bertemu dan memberi tahu mereka bahawa anda perlu bersedia secara fizikal dan mental untuk musim yang panjang sebelum membuat keputusan untuk membawa mereka,” ujar Elavarasan.

Suara Sarawak