KUCHING: Sarawak memberi keutamaan kepada pembangunan sumber tenaga yang boleh diperbaharui sebagai usaha untuk mencapai masa hadapan bersih sifar.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, sumber tenaga yang boleh diperbaharui itu juga termasuklah tenaga solar, angin dan hidroelektrik.
Katanya, negeri ini mempunyai sumber alam yang banyak sekali gus dapat dimanfaatkan untuk menyediakan tenaga yang bersih dan lestari kepada rakyatnya.
“Disebabkan itu inovasi penting untuk masa hadapan bersih-sifar atau ‘net-zero’ di negeri ini.
“Justeru, Kerajaan Sarawak menggalakkan pembangunan teknologi dan penyelesaian baharu yang boleh mengurangkan pelepasan gas rumah hijau sekali gus menggalakkan amalan lestari.

“Ini termasuk penggunaan teknologi Penangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS) yang dapat membantu mengurangkan pelepasan daripada industri utama seperti minyak dan gas,” katanya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan yang dibacakan Timbalan Premier Sarawak
Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan pada Majlis Makan Malam sempena Persidangan Karbon Asia di Hotel Pullman Kuching, malam tadi.
Abang Johari menambah, Kerajaan Sarawak juga akan bekerjasama dengan pihak berkepentingan, termasuk sektor swasta, masyarakat sivil, dan rakan kongsi antarabangsa untuk mencapai matlamat kelestarian tersebut.
Hadir sama Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah; Menteri di Jabatan Premier Sarawak Datuk John Sikie Tayai; Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Dr Hazland Abang Hipni; Ketua Asia dan Pasaran Minyak Rantau Asia, Argus Media, Karl Kleemeier; serta wakil yang lain.
