PELAKON dan pengacara, Sarimah Ibrahim, 48, mendedahkan beliau pernah menerima beberapa tawaran untuk membintangi produksi antarabangsa, termasuk siri Netflix.
Bagaimanapun, beliau memilih untuk menolak tawaran tersebut apabila watak yang ditawarkan memerlukannya melakonkan babak intim.
Menerusi perkongsian di Threads, Sarimah berkata, antara peluang yang pernah diterimanya termasuk membintangi siri Netflix Wednesday dan Nine Perfect Strangers yang menampilkan pelakon Nicole Kidman.
Menurut Sarimah, beliau pernah disenarai pendek untuk salah satu watak dalam siri Wednesday. Namun begitu, watak tersebut memerlukannya melakonkan babak bercium dengan pelakon lain secara dekat serta menggunakan teknik rakaman gerak perlahan.
“Saya pernah disenarai pendek untuk sebuah watak, tetapi babak tersebut memerlukan saya bercium dengan pelakon lain secara dekat dan dirakam dalam gerak perlahan.
“Jadi, saya memilih untuk menolak tawaran tersebut,” tulisnya.
Beliau turut berkongsi pengalaman yang hampir sama ketika menerima peluang untuk membintangi siri Nine Perfect Strangers.
Menurutnya, watak tersebut memerlukan pelakon melakukan babak bercium serta mengenakan bikini.
“Saya turut menerima tawaran untuk sebuah lagi siri yang dibintangi Nicole Kidman, tetapi watak tersebut memerlukan babak bercium dan adegan mengenakan bikini. Saya juga memilih untuk menolaknya,” katanya lagi.
Sarimah menjelaskan keputusan tersebut bukan disebabkan kekurangan bakat dalam kalangan pelakon dari Asia atau negara Islam. Sebaliknya, beliau memilih untuk mempertahankan prinsip, moral dan maruah diri.
“Bukan bermaksud kita kekurangan bakat di Asia atau negara Islam. Cuma, ramai antara kita tidak sanggup berkompromi dengan prinsip, moral dan maruah diri. Setiap orang mempunyai pendirian masing-masing,” ujarnya.
Menurutnya, terdapat banyak lagi peluang lakonan yang diterimanya, namun sebahagian daripadanya turut mengandungi unsur intim dan tidak menyediakan pelakon pengganti.
“Terdapat banyak lagi peluang yang saya terima, tetapi kesemuanya mempunyai unsur intim dan tidak menyediakan pelakon pengganti. Namun, itulah realiti yang perlu saya hadapi,” tambahnya.
Walaupun terpaksa melepaskan beberapa peluang tersebut, Sarimah menganggap pengalaman menjalani proses uji bakat sebagai satu bentuk pembelajaran yang memberikan manfaat kepadanya.
“Saya menganggap setiap pengalaman ketika disenarai pendek sebagai latihan yang sangat berharga. Saya juga memperoleh maklum balas yang baik untuk digunakan dalam peluang akan datang,” kongsinya lagi.
Dalam hantaran lain, Sarimah turut berkongsi foto bersama-sama pengarah pemilihan pelakon, Dan Hubbard, ketika berada di London.
Beliau memaklumkan Hubbard pernah terlibat dalam proses pemilihan pelakon bagi beberapa produksi seperti The Gentlemen, The Bourne Supremacy, The Bourne Ultimatum dan Captain Phillips.
Sarimah berkata, pengalaman menghadiri pelbagai pertemuan, sesi uji bakat dan latihan memberikan pendedahan yang bermakna kepadanya tentang industri lakonan antarabangsa.
“Kita boleh berlatih, menimba ilmu, membina hubungan serta memiliki kemahiran dan bakat yang baik.
“Namun, jika sesuatu peluang itu tidak sesuai untuk kita dan bukan rezeki kita, maka ia bukanlah milik kita,” ujarnya.
Mengakhiri perkongsiannya, Sarimah menegaskan bahawa setiap individu mempunyai prinsip, standard dan batas tersendiri yang perlu dihormati.
“Kita mempunyai standard dan adab tersendiri dan malangnya, itulah realiti yang perlu kita hadapi.
“Saya bersyukur dengan rezeki yang diberikan serta segala ilmu dan pengalaman yang diperoleh,” katanya.






