Sasar 1,000 cerita pendek perpaduan di Sarawak

BINTULU: Sasaran 1,000 hantaran cerita pendek yang menfokus perpaduan di negeri ini disasar untuk dicatatkan dalam Malaysia Book of Records (MBOR), menerusi projek ‘The Sarawak’s Pride – Most Number of Unity Short Stories Project’.

Ketua Bahagian Persidangan Institut Pembangunan Sarawak (SDI) Rosalind Wong berkata meskipun MBR menetapkan kriteria sebanyak 1,000 cerita pendek untuk mencipta rekod, namun tujuan utama projek ini ialah berkongsi mengenai perpaduan yang merupakan kebanggaan rakyat negeri ini.

Menurutnya, penulisan yang terpilih akan dipamerkan di sekitar Tebingan Sungai Kuching pada Ogos depan dan hadiah akan diberikan kepada tiga karya terbaik pilihan panel penilai.

Rosalind memberi taklimat  kepada wakil NGO, agensi kerajaan dan swasta yang hadir.

“Karya penulisan pendek, antara 50 dan 200 perkataan itu perlu sampai kepada penganjur pada 15 Jun ini,”ujarnya semasa sesi taklimat projek kepada pelbagai Badan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), agensi kerajaan dan swasta di sini.

Katanya, Projek ‘Sarawak’s Pride-Most Number of Unity Stories’ yang dianjurkan sempena ulang tahun ke-31 pengisytiharan Kuching sebagai sebuah bandaraya, dan tahun keempat ia bergelar Bandaraya Perpaduan.

Sehubungan itu, kata Rosalind lagi, Yayasan Perpaduan Sarawak (YPS) dan SDI memerlukan bantuan daripada pelbagai kumpulan dan pertubuhan untuk mempromosi serta memberi sokongan sambil menambah mereka yang berminat untuk mengemukakan cerita pendek perpaduan boleh berbuat demikian menerusi e-mel ke sarawakpride@gmail.com, dengan mengisi borang dalam talian di laman sesawang YPS di www.yps.org.my atau menghubungi penganjur di talian 082-415 484.

Suara Sarawak