SARIKEI: Usaha menyemarakkan budaya kebersihan di Sarikei dipergiat melalui penganjuran Hari Cuci Malaysia Peringkat Daerah Sarikei yang menyasarkan kutipan lebih lima tan sisa, bahan kitar semula, dan minyak masak terpakai di 10 lokasi terpilih.
Pengerusi Majlis Daerah Sarikei (MDS), Kaunselor Stephen Wong Kie Yong menyatakan bahawa program tersebut dijangka menghimpunkan kira-kira 200 peserta daripada pelbagai lapisan masyarakat termasuk agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), komuniti setempat, dan sektor swasta.

Beliau menegaskan bahawa penglibatan pelbagai pihak amat penting bagi memastikan agenda kebersihan bandar tidak hanya digerakkan oleh pihak berkuasa tempatan, sebaliknya menjadi usaha bersama yang berterusan dalam kalangan masyarakat.
Menurutnya, tumpuan utama program merangkumi aktiviti gotong-royong berskala besar di sekitar Kampung Seberang serta aktiviti berjalan kaki sambil mengutip sampah di sepanjang laluan dan jalan utama bagi menggalakkan masyarakat menggabungkan aktiviti fizikal dengan amalan menjaga kebersihan persekitaran.

Selain itu, MDS turut menyediakan kemudahan Pusat Pengumpulan Bahan Kitar Semula di pejabatnya bagi menggalakkan orang ramai mengasingkan sisa dari punca serta menyokong Kempen 3R, Kempen BEE, dan usaha pencegahan denggi di kawasan kediaman penduduk.





