Satu kes kematian, 132 kes positif Covid-19 baharu di Sarawak

KUCHING: Terdapat satu kes kematian baharu dilaporkan di Sarawak hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kematian akibat Covid-19 meningkat kepada 22 kes.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, kes kematian ke-22 merupakan kes ke-2,546 yang melibatkan seorang lelaki warga Sarawak berumur 51 tahun yang dimasukkan ke Hospital Miri pada 18 Januari lalu kerana mengalami kesukaran dalam pernafasan semasa lawatan ke Nephron Klinik pada hari berkenaan.
Menurutnya, kes telah disahkan meninggal
dunia pada jam 4.50 petang semalam (20 Januari) dan didapati positif Covid-19 pada hari yang sama.
“Saringan ujian Covid-19 diambil pada 18 Januari dan kes mempunyai penyakit kegagalan buah pinggang pada tahap akhir yang memerlukan rawatan dialisis,” katanya menerusi kenyataan harian perkembangan Covid-19 di Sarawak, hari ini.
Uggah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) menambah terdapat 132 kes positif Covid-19 dikesan di Sarawak hari ini menjadikan jumlah keseluruhan kes positif meningkat kepada 2,702
kes.
Sehubungan itu, katanya Sibu merekodkan kes tertinggi hari ini dengan 62 kes diikuti Kanowit (46), Bintulu (12), Miri (lima), Kuching (tiga), Dalat (satu),Lubok Antu (satu), Serian (satu) dan Selangau (satu).
“Bagi kes di Sibu daripada 62 kes tersebut 35 melibatkan Kluster Pasai, 19 kes saringan-saringan lain dan lapan kes dalam kalangan petugas kesihatan.
“Manakala, 42 kes yang dilaporkan di Kanowit juga daripada Kluster Pasai,” ujarnya.
Beliau memaklumkan bahawa, terdapat lapan Kluster yang masih aktif di Sarawak setakat hari ini iaitu Kluster Rakut, Miri; Kluster Bukit Sekubong, Sebauh; Kluster Jelita, Miri; Kluster Pasai, Sibu; Kluster Keranji Tabuan, Kuching; Kluster Bah Sayap, Miri; Kluster Stutong, Kuching; dan Kluster Mador, Meradong.