Satu kes positif Covid-19 kategori Import B dikesan di Meradong, Sarikei hari ini

KUCHING: Terdapat satu kes positif Covid-19 dikesan di Sarawak hari ini, melibatkan daerah Meradong, Bahagian Sarikei dan menjadikan jumlah keseluruhan kes positif Covid-19 di negeri ini meningkat kepada 1,115 kes.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, bagi kes 1,115, kes merupakan seorang lelaki warga tempatan (Sarawak) yang balik dari Kuala Lumpur pada 19 Disember lalu.

“Sebelum balik ke Sarawak, kes telah menjalani ujian saringan Covid-19 di sebuah makmal swasta di SC Medan Tunku, Kuala Lumpur pada 15 Disember dan ujian rT-PCR kes didapati negatif Covid-19.

“Semasa tiba di Lapangan Terbang Sibu pada 19 Disember, kes telah diberikan arahan kuarantin selama 14 hari di rumah kes di Sg. Mador, Meradong serta dipakaikan gelang,” katanya dalam kenyataan harian perkembangan Covid-19 di Sarawak, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau mendedahkan bahawa kes tersebut telah menjalankan ujian saringan pada hari ke-8 di sebuah klinik kesihatan kerajaan di Meradong dan ujian rTPCR kes didapati positif pada 29 Disember lalu.

“Semasa siasatan awal, kes mengaku tidak keluar rumah tetapi telah makan bersama ahli keluarga yang lain dan telah menerima kunjungan beberapa orang penduduk dari rumah panjang yang sama semasa sambutan Hari Krismas.

“Kes telah dimasukkan ke Hospital Sibu untuk rawatan lanjut dan dikategorikan sebagai kes Import B kerana telah mendapat jangkitan semasa masih berada di Kuala Lumpur,” katanya.

Ujar beliau, kontak rapat ahli keluarga kes telah dimasukkan ke pusat kuarantin untuk saringan Covid-19 bagi tujuan pengasingan dan pemantauan lanjut malah tindakan pengesanan kes secara aktif sedang giat dijalankan.

Suara Sarawak