Satu kluster baharu diisytiharkan hari ini, Kluster Jalan Stadium Negeri, Kuching

KUCHING: Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) mengisytiharkan satu lagi kluster baharu hari ini, iaitu Kluster Jalan Stadium Negeri, Kuching.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak berkata, Kluster Jalan Stadium Negeri merupakan satu kluster sosial yang dikesan melibatkan satu mesyuarat teknikal sebuah persatuan sukan di Jalan Stadium, Petra Jaya, Kuching.

“Mesyuarat yang berlangsung pada 30 April lalu turut dihadiri oleh seorang individu yang kemudiannya telah disahkan positif Covid-19 pada 5 April lalu.

“Individu tersebut merupakan kes indeks kepada kluster ini,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

JPBN menambah, kes indeks iaitu kes positif ke-33,284 adalah seorang lelaki rakyat Sarawak berumur 65 tahun yang dikesan melalui saringan individu bergejala di Klinik Kesihatan Petra Jaya pada 3 Mei sebelum disahkan positif Covid-19 pada 5 Mei lalu.

“Kes indeks telah mendapat jangkitan daripada komuniti dan telah menjangkiti ahli mesyuarat yang hadir pada hari itu, seterusnya merebak dalam kalangan ahli keluarga kontak tersebut,” jelasnya.

Susulan penambahan kluster tersebut, sebanyak 76 kluster yang masih aktif di Sarawak iaitu 16 kluster merekodkan 82 penambahan kes baharu, manakala 60 kluster tidak merekodkan penambahan kes.

Suara Sarawak