KUCHING: Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) telah mengisytiharkan satu kluster baharu hari ini iaitu Kluster Sungai Selangan, Sarikei.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) menerusi kenyataan berkata, Kluster Sungai Selangan, Sarikei merupakan satu kluster komuniti yang dikesan di sebuah rumah panjang di kawasan Sungai Selangan dalam daerah Sarikei, Sarawak.
Katanya, ia berlaku hasil pergaulan sosial dalam kalangan penduduk di rumah panjang tersebut.
“Sejumlah 286 individu telah disaring iaitu 101 kes telah dikesan positif termasuk kes indeks dan 185 kes didapati negatif.
“Kesemua kes positif Covid-19 ini telah dirujuk dan dimasukkan ke Hospital Sarikei serta PKRC Sarikei bagi tujuan pengasingan dan rawatan lanjut,” katanya menerusi kenyataan harian perkembangan Covid-19 di Sarawak, hari ini.
Dalam masa yang sama, rumah panjang tersebut juga telah diletakkan di bawah Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) sejak 26 Mei hingga 11 Jun ini.
Sementara itu, JKNS turut mengisytiharkan empat kluster tamat setelah tiada kes baharu dikesan atau dilaporkan dalam tempoh 28 hari melibatkan kluster-kluster ini.
“Kluster tamat berkenaan adalah Kluster Jalan Bambangan, Mukah, Kluster Kampung Tengah Betong, Betong, Kluster Jalan Roban Lama, Saratok dan Kluster Kemas, Kuching.
“Bagaimanapun, jumlah kluster yang masih aktif adalah sebanyak 78 kluster dan sebanyak tujuh kluster telah merekodkan 102 penambahan kes baharu manakala 71 kluster tidak merekodkan penambahan kes,” jelasnya.