Satu kluster baru dikesan, satu lagi kawasan dikenakan PKPD bermula esok

KUCHING: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan selama 14 hari di Kampung Serumah, Padawan bermula esok, 7 hingga 20 Mac ini.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata, keputusan itu dibuat memandangkan kes positif dari kampung tersebut semakin meningkat.

Dalam perkembangan berkaitan, JPBNS memaklumkan hari ini Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS) mengisytiharkan satu kluster baharu di Daerah Julau iaitu Kluster Bukit Tunggal.

“Ia adalah kluster komuniti melibatkan dua buah rumah panjang di Nanga Lioh dan Nanga Sebuntang di kawasan Bukit Tunggal, Durin dengan kes indeks merupakan seorang lelaki tempatan berusia 69 tahun yang dikesan melalui saringan bergejala di klinik kesihatan pada 25 Februari lalu.

“Penyebaran jangkitan Covid-19 di kalangan penduduk di Bukit Tunggal dipercayai melibatkan aktiviti gotong-royong menuai padi sawah.

“Hasil siasatan awal dan pengesanan kes secara aktif di dua rumah panjang tersebut, sebanyak 28 kes tambahan telah dikesan,” jelasnya.

Tambah JPBNS, sehubungan itu dua rumah panjang berkenaan telah diletakkan di bawah perintah sekatan untuk tempoh 14 hari bermula 1 Mac lalu.

“Sementara itu sebanyak 26 kluster masih aktif di Sarawak dengan empat kluster mencatatkan penambahan kes hari ini iaitu Kluster Bukit Tunggal Julau (baru), Kluster Jalan Muhibbah Betong (31), Kluster Emperoh Jambu Kuching (11) dan Kluster Sungai Bakong Meradong (2),” ujarnya.

Suara Sarawak