KUCHING: Kenaikan denda individu yang melanggar peraturan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) merupakan satu langkah tepat, tetapi perlu bergantung kepada keberkesanan penguatkuasaan dan kerjasama daripada masyarakat, kata Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching (MBKS) Datuk Wee Hong Seng.
Menurutnya, keputusan Kerajaan Persekutuan dalam meningkatkan jumlah denda bukan untuk menyasarkan sesiapa tetapi bagi memastikan semua orang mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) dalam memutuskan rantaian Covid-19.
“Disebabkan semakin banyak perniagaan yang dibenarkan untuk beroperasi semula, saya rasa dengan memberikan denda lebih tinggi merupakan satusatunya cara membuatkan semua orang mematuhi SOP.
“Tetapi sekali lagi, apa yang perlu saya tekankan di sini ialah bahagian yang paling penting seperti masyarakat, syarikat, pengusaha kedai supaya mematuhi semua SOP yang ditetapkan,” katanya ketika dihubungi pada Jumaat.
Beliau berkata demikian ketika memberi respons terhadap Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 yang menggariskan langkah denda baharu mulai 11 Mac ini, bagi yang melanggar peraturan PKP dan boleh didenda hingga RM10,000.
Selain itu, dalam Ordinan Darurat juga menyenaraikan syarikat atau perbadanan yang melanggar SOP boleh dikenakan denda hingga RM50,000.
Jelas beliau lagi, tujuan utama pelaksanaan tersebut untuk menurunkan kes positif harian dan menjadikan negara ini bebas Covid-19 sehingga keadaan dapat kembali normal. “Orang ramai perlu tahu bahawa menaikkan denda bukan bertujuan untuk menghukum sebaliknya menggambarkan sikap serius kerajaan menangani pandemik,” tegasnya.
Menjelas lanjut, setelah setahun memerangi Covid-19 dengan program imunisasi vaksin yang dijalankan sekarang, jika masyarakat masih tidak memandang serius bahaya pandemik itu, maka apa yang kita depani sekarang tidak akan berakhir.
“Oleh itu, saya menggesa semua restoran untuk pastikan anda mengatur dan menandakan semua meja dan kerusi membolehkan jarak fizikal satu meter ketika pelanggan duduk. “Sudah tentu, jumlah pengunjung akan lebih rendah, tetapi apa pun, ini cara untuk mencegah atau memutuskan rantaian penghantaran.
“Terutama di tempat minum, tolong, anda perlu membantu kerajaan kerana pengusaha boleh menjana wang di kemudian hari, tetapi mari kita selesaikan terlebih dahulu Covid-19 ini,” jelasnya.
Beliau memaklumkan, jika ada pelanggan yang keras kepala dengan tidak mematuhi SOP, pengusaha mesti tegas dan segera laporkan perkara itu kepada pihak berkuasa.
“Tolong semua, kami memerlukan anda memainkan peranan anda, kami memerlukan pertolongan anda untuk melindungi semua orang, melindungi perniagaan anda, pelanggan, dan orang Sarawak daripada penularan Covid-19, ” ujarnya lagi.