Satu PPS ditutup, mangsa banjir menurun kepada 1,046 mangsa

KUCHING: Jumlah mangsa banjir yang ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) menurun kepada 1,046 orang daripada 341 keluarga setakat jam 12 tengah hari ini.

Menurut Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS), ia adalah susulan daripada sebuah PPS yang ditutup di daerah Kota Samarahan.

PPS Dewan Suarah Kota Samarahan telah ditutup jam 10.20 pagi tadi yang sebelum ini menempatkan 30 mangsa daripada enam keluarga.

Tambah JPBNS, dengan penutupan pusat pemindahan tersebut menjadikan jumlah keseluruhan PPS yang masih dibuka setakat ini adalah sebanyak 17 buah iaitu satu di Tatau, empat di Simunjan, satu di Samarahan dan 11 di Serian.

Sementara itu, daerah Serian kekal merekodkan jumlah mangsa banjir tertinggi dengan peningkatan sebanyak 790 orang daripada 256 keluarga setakat jam 12 tengah hari ini.

Bagi daerah Samarahan pula, hanya satu PPS yang dibuka iaitu PPS Dewan Serbaguna Kampung Bangka Semong yang melibatkan seramai 15 mangsa daripada lima keluarga.

Manakala daerah Simunjan pula kekal dengan 233 mangsa daripada 78 keluarga dan di daerah Tatau kekal dengan lapan mangsa dari dua keluarga apabila hanya satu PPS dibuka.