Saya bukan berkempen – Abang Johari

KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg menafikan berkempen bagi Pilihan Raya Negeri akan datang, ekoran kehadirannya dalam setiap majlis yang diadakan di seluruh pelosok negeri.

Sebaliknya, beliau menjelaskan komitmennya datang ke majlis walaupun terletak jauh di kawasan pedalaman adalah untuk melihat sendiri pelaksanaan projek-projek pembangunan yang sudah diluluskan.

“Saya pergi ke Mukah, Sungai Asap, Kabong bahkan di Kuching ini bukan untuk berkempen tetapi saya turun untuk melihat projek-projek pembangunan yang diluluskan kerajaan negeri dilaksanakan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap sempena pelancaran Projek Tebingan Sungai, Pekan Batu Kawa di sini hari ini.

Hadir sama Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Kawa Datuk Dr Sim Kui Hian dan ADUN Batu Kitang yang juga pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP) Lo Khere Chiang.

Abang Johari menegaskan kerajaan negeri amat komited dalam usaha membawa pembangunan terutama di kawasan luar bandar negeri ini.

Justeru, katanya walaupun tidak mendapat sokongan kerajaan persekutuan dari segi peruntukan, kerajaan negeri sanggup membiayai sendiri kos bagi memastikan ia dilaksanakan.

“Bagi saya, projek pembangunan ini adalah sesuatu yang sangat diperlukan oleh rakyat.

“Sebab itu kami dalam Gabungan Parti Sarawak (GPS) bekerja keras dan sentiasa memfokus kepada pembangunan, bukannya terlalu bermain politik seperti pihak yang satu lagi,” katanya merujuk kepada Pakatan Harapan (PH).