ARTIKEL

Saya dambakan sastera silang budaya

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

ALHAMDULILLAH, saya berasa Rahmat Allah begitu besar apabila saya sudah berada dalam kalangan orang sastera di Sarawak dan di Malaysia.

Tentu sekali rasa syukur itu diselimuti rasa yang lebih besar di permukaan segara yang saujana terbentang.

Sebagai pelajar sastera di sekolah dan kemudian beberapa mata kuliah peringkat sarjana muda yang saya lalui berlainan keadaannya.

Sebagai penulis karya sastera dimensi gugahan kecerdasan emosinya jauh melebihi batas lulus peperiksaan iaitu memperoleh gred yang gemilang.

Orientasi pembelajaran adalah lulus peperiksaan.

Orientasi kegiatan sastera, khususnya penulisan menuntut seribu satu perspektif perisian karya dengan adunan seribu satu dimensi pemikiran serta hala tuju yang jelas.

Memanglah apabila menangani karya saya yang pertama, iaitu novel, yang berjudul Cinta Antara Kita terbitan Karnadya Solutions pada tahun 2009, saya cuma nampak cerita.

Tugas saya menggarap cerita dan menghasilkan sebuah novel.

Hal ini mungkin pengaruh novel-novel pop pada ketika itu.

Maka saya juga turut teruja untuk menghasilkan novel dengan konsep yang sama.

Setelah itu, apabila novel saya terbit, saya memperoleh bayaran, tentulah rasa syukur saya sudah tinggi menggunung.

Namun kepuasan demikian sudah beralih dari dalam diri saya sendiri.

Faktor usia dan kesarjanaan akademik yang saya lalui, jelas menggetarkan gerak dan tindak perubahan sikap dan pemikiran saya tentang sastera dan genre sastera.

Apalagi setelah saya menyertai Persatuan Karyawan Sarawak (PEKASA).

Dalam persatuan ini, banyak hal-hal penulisan yang saya pelajari secara langsung menerusi bengkel, perhimpunan karyawan, bicara karya dan lain-lain yang dianjur oleh PEKASA.

Baca lain  Zikir Burdah MARTABATKAN KESENIAN MELAYU SARAWAK

Akhir-akhir ini, saya akui bahawa nilai sastera yang saya pegang ialah nilai sastera silang budaya.

Nilai sastera silang budaya yang saya maksudkan ini tidak sahaja mengaitkan penulis bukan Melayu menulis sastera Melayu bertemakan masyarakat Iban seperti SNS Jong Chain Lai.

Saya melihat horizonnya lebih nano. Silang budaya yang saya dambakan dalam karya sastera lebih kompleks ibarat tindihan puluhan Carta Venn yang kompleks.

Umpamanya dalam beberapa karya saya, sebagai kaum hawa keturunan Iban, tentulah saya mengunggulkan tema sastera Melayu yang sejagat, namun watak-wataknya dipegang pula oleh bangsa Iban atau Bidayuh yang turut silang budaya orientasinya.

Mereka sudah tidak semestinya pagan animisme atau agama ortodoks bawaan penjajah semata-mata tetapi boleh juga silang agama, silang jantina, silang profesionalisme kerjaya tetapi keharmoniannya mantap.

Hal ini penting bagi saya kerana Sarawak mesti diakui mempunyai khazanah asli yang masih tulen, belum terdedah kepada paparan ilmu dunia sejagat.

Ini merugikan Sarawak sehingga tidak terkenal di peta dunia seperti Bali dan Timor Leste.

Orang lebih mengenali Kuwait walaupun kerdil, begitu juga dengan Singapura.

Saya sering menyoal, mengapa orang tidak mengenal Sarawak seperti orang mengenal Bali atau Singapura.

Dalam hal ini, saya yakin sastera dapat membantu mengangkat martabat Sarawak ke segara impian saya ini.

Maka perjuangan saya ke arah itu.

Saya faham bahawa masyarakat sastera kini mengecap gagasan yang cuba saya ketengahkan ini sebagai karya kearifan tempatan.

Baca lain  Masa berkualiti

Namun definisi itu masih sempit bagi saya.

Karya sastera silang budaya lebih gagah dan ampuh. Cuba kita analisis kedudukan senario ini.

Seorang watak berbangsa Iban, bekerja sebagai doktor perubatan, berkahwin dengan pembantu perubatan berbangsa Melayu tetapi bermasalah dengan adikberadiknya yang mempunyai kerjaya yang berlainan. Konflik agama masih terasa, konflik kerjaya juga demikian.

Konflik budaya seperti pembahagian harta tanah peninggalan datuk di kedua-dua belah pihak masih mengungguli pemikiran mereka.

Bagaimanakah dapat perkara ini diselesaikan dengan harmoni?

Pada hemat saya, berkarya tidak sahaja menyelesaikan masalah watak yang berkonflik tetapi pemilihan diksi yang mengandung falsafah serta pemikiran kita ialah maruah.

Maruah ini bukan maruah para watak yang dikonflikkan dalam karya itu tetapi turut memalit maruah pengarang dan maruah sastera itu sendiri, sebagai sebuah medan kehidupan.

Lanjutan daripada itu, kemudiannya menjadi maruah ilmu yang dipaparkan oleh karya sastera yang dihasilkan itu.

Tidak mustahil jika karya yang terhasil pada tahun ini, menjadi bahan kajian pelbagai universiti beberapa negara lima pulih tahun yang akan datang.

Saya mengunjurkan mata pandang saya ke depan kerana orientasi akademik yang saya lalui menyerlahkan hakikat bahawa kita ketinggalan agak jauh dalam banyak perkara.

Soalnya sekarang, mahukah kita kekal menjadi katak di bawah tempurung?

Atau ada baiknya lonjakkan kedudukan bahasa Melayu melalui karya sasteranya di kedudukan ilmu yang lebih tinggi.

Tentulah impian saya yang saujana untuk meniti titian ampuh kedudukan sastera Melayu di kerancakan ilmu dunia yang kian jelas dijulang tinggi digitalisasi.

Baca lain  SATUKAN TIGA NEGARA

Sepanjang belasan tahun berkarya, saya sudah ada beberapa kejayaan cuma saya kurang tertonjol.

Setakat ini, saya sudah ada tiga novel, satu kumpulan cerpen, lima kumpulan sajak.

Cerpen eceran saya sudah 54 buah, sementara puisi saya 83 buah.

Esei tulisan saya sudah melayah ke peringkat yang lebih tinggi dan berkuaiti.

Dari aspek peraduan, di peringkat Sarawak, saya ada memenangi beberapa hadiah seperti hadiah pertama peraduan menulis sastera kreatif anjuran Jabatan Pendidikan Sarawak, dalam bidang cerpen.

Puisi saya pernah menggondol hadiah pertama dan ketiga.

Di peringkat kebangsaan, saya pernah memperoleh hadiah sagu hati cerpen.

Bagaimanapun bukanlah sedikit kemenangan dan secalit penerbitan itu yang mencipta kepuasan dalam diri saya.

Saya masih mendambakan karya besar yang mempunyai kualiti tinggi. Tidak hanya di perbatasan sahaja.

Untuk mencapai hasrat ini saya tahu dan akur, bukan mudah dan tampak mustahil akan terhasil dalam masa terdekat kerana pelbagai faktor sampingan.

Namun dalam masa yang sama, saya percaya tidak ada perkara yang mustahil.

Di mana ada kemahuan di situ ada jalan.

Hal ini saya katakan demikian kerana transformasi diri saya sendiri pada hemat saya sangat rencam.

Bermula dengan penulisan cerpen dan akhirnya melibatkan diri dengan pelbagai genre.

Namun atas dasar minat dan keinginan dalam bidang bahasa dan sastera, saya melakukannya dengan santai sahaja. Maka, tidak ada yang mustahil.

BERITA LAIN

Pengurusan rekod sistematik, efisien

SESI kunjungan hormat Ikmas ke Arkib Negara Malaysia Negeri Sarawak diketuai Timbalan Pengarah Ikmas, Abd Malek Ghazali dan disambut Pengarah Arkib Negara Malaysia Negeri Sarawak

Lawatan ke CENTEXS

SERAMAI 106 pelajar semester dua Diploma Dakwah Islamiyah mengikuti lawatan ke Pusat Kecemerlangan Teknikal Sarawak (CENTEXS) diiringi enam pegawai Ikmas. Lawatan ini bertujuan memberi pendedahan

Kuih bongkol juadah istimewa Sarawak

KUIH bongkol tidak asing lagi bagi masyarakat Sarawak lebih-lebih lagi pada Ramadan lalu. Malah, kuih ini pasti menjadi salah satu hidangan wajib dijual oleh peniaga

Bertuntung gaya moden

TRADISI “bertuntung” dilihat semakin moden dengan gabungan lampu LED atau lampu liplap sebagai penyeri rumah pada 10 malam terakhir Ramadan sehingga Syawal di Sarawak. Tradisi

Bentuk peribadi anak

MEMILIKI cahaya mata menjadi impian setiap pasangan berkahwin. Namun, memiliki anak bukanlah perkara mudah kerana ia merupakan tanggungjawab besar dan salah satunya ialah mendidik mereka.

BERITA TERBARU