Saya hampir tertimbus 30 kaki ke dalam tanah

BETONG: Saya bernasib baik kerana ada orang lain ada menolong, jika tidak saya mungkin sudah terluncur sekali di dalam tanah runtuh, kata Diana Janting, 44.

Situasi yang mencemaskan itu berlaku ketika dia dalam perjalanan menuju ke pasar, di sini pagi semalam. Menurutnya, kejadian kira-kira 6 pagi di Jalan Buai Melanjan, Ulu Padeh itu berlalu begitu cepat dan mencemaskan.

“Saya berjaya keluar menyelamatkan diri selepas dibantu penduduk lain yang kebetulan berada di situ. Malah mereka turut menarik kenderaan saya ke atas daripada terjunam sedalam 30 kaki di dalam runtuhan itu,” katanya di sini, kelmarin.

Diana seperti dilapor Penolong Pegawai Pertahanan Awam Daerah Betong Desem Samuel mengadu sakit pada bahagian kepala dan mengalami luka di bibir akibat terhantuk stereng kereta. Pasukan APM yang memberi bantuan tiba kira-kira 7.22 pagi.

“Anggota kita bertindak menghantar Diana ke hospital untuk rawatan lanjut selain meninjau kawasan tanah runtuh,” ujarnya.

Sementara itu Pegawai Operasi Bomba dan Penyelamat Betong Henry Jugah turut berada di lokasi mengesahkan runtuhan Jalan Buai Melanjan sepanjang 10 kaki dengan kedalaman kira-kira 30 kaki.

“Ini menyebabkan perhubungan sembilan rumah panjang di sebelah hulu terganggu. “Bagaimanapun, penduduk boleh menggunakan jalan kebun dari Stesen Pertanian Layar.

Namun hanya boleh dilalui kenderaan pacuan empat roda,” jelasnya. Turut bersama-sama memantau keadaan, JKR Bahagian Betong.

Jurutera Bahagian JKR Bahagian Betong Chiresly Francis Kureng yang dihubungi memberitahu, tanah runtuh di Jalan Buai Melanjan disebabkan keadaan banjir dan limpahan air sungai.

“Kerja-kerja menembok semula akan bermula petang ini. “Sekiranya tiada halangan, jalan tersebut akan dapat dilalui semula pada tengah hari esok,” terangnya.