Saya kehilangan kata-kata – Jerry Kamit (Tuku Kame).

KUCHING: “Saya kehilangan kata-kata dan terasa amat sedih akan kehilangan beliau,” kata artis sape tempatan Jerry Kamit (Tuku Kame).

Jerry berkata demikian ketika dihubungi oleh Suara Sarawak berhubung kematian Saufi Aiman (Star Sape merangkap Pengerusi PUSAK – Persatuan Anak Seni Sape’ Kuching) malam tadi.

Menurut Jerry, Saufi adalah salah seorang anak didiknya yang paling berjaya dan tiada gantinya.

“Beliau adalah anak didik saya apabila menjalani praktikal di Kampung Budaya ketika menuntut di UiTM.

“Beliau mendokumentasikan sape sehingga berjaya menerbitkan buku,” katanya.

Tambah Jerry, agak sukar untuk mencari individu seperti Suafi apabila berjaya merangkul anugerah bertaraf antarabangsa.

Mengimbas kembali perbualan kali terakhir bersama-sama Suafi, Jerry berkata ia pada Hari Raya Aidilfitri lalu melalui komen di Facebook.

“Kami merancang untuk bertemu selepas PKP atau tiada lagi Covid-19.

“Kini saya hanya menanti sahaja sebarang maklumat daripada rakan-rakan mengenai Saufi, ingin sahaja memberi penghormatan terakhir tetapi tidak dapat,” ujarnya.

Beliau turut mengakui tidak dapat melelapkan mata semasa mendengar berita mengenai Saufi malam tadi.

Suara Sarawak