Saya pernah miskin, saya faham kesusahan mereka – Datuk Sri Huan

SARIKEI: “Mereka macam anak saya sendiri.” Itu kenyataan ringkas Adun Repok, Datuk Sri Huang Tiong Sii ketika ditanya mengenai bantuan untuk pelajar kurang berkemampuan di kawasan beliau.

Menurut Huang sumbangan itu merupakan sebahagian rutinnya sejak menjadi wakil rakyat di Repok.

“Dulu saya pernah hidup miskin. Saya juga pernah merasa susah. Justeru saya tahu betapa sukarnya ibu bapa yang tidak mampu membuat persediaan untuk anak mereka ke sekolah.

“Hari ini, saya ingin menzahirkan pengalaman itu dalam bentuk sumbangan mengikut kemampuan saya,” katanya kepada Suara Sarawak.

Sumbangan berupa beg dan kelengkapan sekolah itu diserahkan oleh beliau sendiri di semua sekolah di Dun Repok sejak beberapa hari lalu.

Antara sekolah yang menerima sumbangan hari ini termasuklah Sekolah Kebangsaan (SK) Kwang Chien, SK St Anne, SK Methodist dan Wan Man.

Dalam perkembangan berkaitan beliau turut melakukan tinjauan sempena pembukaan pertama sekolah di Dum Repok.

“Difahamkan jumlah kehadiran murid mencapai 80 peratus dan saya amat berpuas hati dengan perkembangan itu.

“Saya juga dimaklumkan ramai ibu bapa gembira dengan keputusan Kementerian Pendidikan membuka semula sekolah.

“Sehubungan itu, saya berharap semua pihak mematuhi sepenuhnya Prosedur Operasi Standard (SOP) demi keselamatan bersama. Semoga kita bebas sepenuhnya dari Covid-19,” katanya.

Suara Sarawak