SUDAH tiga umat Islam berpuasa. Pasti perut sudah selesa dengan keadaan tanpa makan dan minum sepanjang hari. Tidak seperti hari pertama puasa, pada hari ketiga ini, sudah kurang membeli juadah sungkai mengikut nasfu makan. Mulai hari ini, cuma beli juadah yang perlu sahaja. Bukan membeli mengikut keinginan di mata.
Terlihat sahaja makanan yang nampak sedap, semua ditapau bawa balik. Hujungnya makanan itu akan berakhir di dalam tong sampah, tanpa dijamah pun. Ini yang selalu berlaku setiap kali Ramadan. Tanpa kawalan, banyak pembaziran berlaku. Lebih-lebih lagi sekarang begitu banyak bazar Ramadan dibuka berdekatan kediaman. Cukup berjalan kaki, sudah sampai ke bazar Ramadan.
Adakah ia amalan dituntut sepanjang Ramadan? Pasti jawapanya tidak, kerana Ramadan seharusnya mengajar seseorang menjadi insan yang bersyukur. Reda dengan makanan yang ada, bukan makan apa-apa makanan yang nampak di mata. Dalam hal ini, kita sering diingatkan akan kepayahan hidup orang lain dalam meneruskan kelangsungan hidup. Masih banyak orang yang kurang makan, atau mungkin tidak mampu membeli makanan berbanding kita yang boleh makanan tiga atau empat kali sehari. Teringat dengan kata-kata seorang ustaz.
“Ramadan mengajar kita agar lebih bersyukur. Jangan membazir ketika membeli juadah berbuka puasa. Ingatlah, ada lagi orang yang langsung tidak makan sebab tiada makanan.” Dan, teringat pula dengan kata-kata orang luar negara yang dikongsi di Internet, yang negara mereka menghadapi kebuluran dan terlibat dalam pergolakan dan peperangan.
Mungkin kita pernah kutip dialog ini. “Puasa atau tidak puasa tetap sama bagi kami. Kami berpuasa tetapi apa yang kami ada untuk berbuka puasa petang kelak?” Kata-kata ini sering saya sematkan dalam ingatan dua anak lelaki saya. “Kita mesti berpuasa. baru kita tauk gine rasa orang yang sik ada makanan untuk makan. Puasa dapat mengajar kita bersyukur dan faham dengan keadaan orang yang susah hidupnya. Rasulullah SAW ada bersabda, biasakan diri dengan kesusahan sebab nikmat kesenangan hidup tidak kekal selama-lamanya.
Plastik hitam Tiba Ramadan, setiap individu Islam pasti akan cuba berpuasa. Ada yang berjaya, namun ada juga yang tewas pada hari pertama. Macam- macam alasan. Paling popular, tiba- tiba penyakit gastrik timbul pada 1 Ramadan. Tetapi bagi mereka yang ingin mengubah diri, Ramadan mungkin permulaannya. Sebab, bulan ini manusia tidak diganggu oleh syaitan dan iblis yang sedaya upaya memesongkan fikiran manusia. Namun, ia tetap juga mencabar kerana syaitan dan iblis juga membuat persediaan awal sebelum dirantai sepanjang Ramadan.
Mereka tidak mungkin mengganggu manusia berpuasa? Jelas seorang ustaz: “Dalam kita bersiap-siap menyambut Ramadan, iblis dan syaitan juga membuat persiapan. Awal-awal lagi mereka sudah menyuntik segala yang tidak baik ke dalam hati kita sebelum tibanya Ramadan.” Kami, pelajar bertanya: “Bagaimana pula ustaz?” Sebelum tiba Ramadan, iblis dan syaitan akan membisik segala-gala yang tidak baik ke dalam diri kita. Ia serum kejahatan. Dia berusaha memesongkan hati dan fikiran kita, hingga ia benar-benar menyerap ke dalam diri.
” Sebab itu, orang yang suka menonton filem biru tetap akan menonton filem itu pada bulan puasa. Ada juga yang enggan berpuasa akan sentiasa berusaha mencari ruang untuk membatalkan puasa. Situasi ini dapat dilihat melalui filem lakonan Bell Ngasri yang melakonkan watak Barkoba. Dia bersama-sama rakan-rakannya sanggup tidak berpuasa, kononnya tidak tahan menahan lapar dan haus. Maka, timbullah plastik hitam simbol kepada mereka yang ‘pecah puasa’ pada tengah hari setiap kali Ramadan. Apa-apa pun, filem itu sebenarnya adalah kritikan membina terhadap mana-mana individu yang tidak dapat melihat Ramadan sebagai madrasah untuk mengubah diri ke arah kebaikan. Bukan hanya melihat Ramadan dan puasa sebagai kaedah terbaik menurunkan berat badan, sebaliknya sebagai bulan meningkatkan tahap kesihatan badan.
Madrasah akal, hati Ramadan boleh membentuk akal dan hati agar dapat mengawal seluruh tubuh badan. Paling utama, membasuh hati dengan puasa — menahan diri daripada melakukan apa-apa sahaja yang boleh membatalkan puasa. Maknanya, Ramadan mendidik hati dan akal kita agar sentiasa muraqabah dengan Allah SWT, iaitu sentiasa sedar bahawa segala amalan, gerak kerja bahkan juga azam dan niat kita diketahui, dilihat dan dinilai oleh Allah SWT. Madrasah Ramadan juga mampu melahirkan jiwa yang bertakwa seperti yang dikehendaki Allah.
“Wahai orang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan ke atas orang sebelum kamu, mudah- mudahan kamu bertakwa.” (Al- Baqarah, ayat 183) Sepanjang 30 hari ini, gunakan akal untuk mengawal dan menilai apa-apa yang diinginkan hati. Semoga, ia berjaya dan dapat diteruskan walaupun Ramadan berakhir setelah nampaknya anak bulan Syawal. Jadi, kita harus menjadi lebih baik, serius dan bertanggungjawab dalam apa-apa yang kita lakukan. Mungkin ini masanya untuk kita muhasabah diri.
Adakah kita benar-benar sudah menunaikan tanggungjawab kepada diri sendiri, keluarga, masyarakat serta tempat kita mencari sesuap nasi? Paling utama sekarang ialah menjaga mulut, pandangan dan telinga. “Puasa adalah perisai, jadi ketika salah satu daripada kalian sedang berpuasa, ia tidak boleh memanjakan mulutnya dengan perkataan kasar atau meninggikan suaranya ketika marah. Jika seseorang menghinanya, biarkan dia berkata: saya sedang berpuasa,” (Hadis Riwayat Muslim).
Banyak yang perlu dilakukan. Jangan pula dipandang enteng kerana yang menanggungnya kita sendiri. Jangan ada rasa ego dengan berasakan yang kita sudah melakukan yang terbaik. Terbaik di mata kita, tidak semestinya terbaik pada mata orang lain. Jika semuanya dipenuhi, ia petanda baik. Jika sebaliknya, maka gunakan Ramadan ini untuk menampung segala kelompangan dan menambah baik lagi aspek kehidupan.
Jadikan Ramadan ini sebagai bulan mempermudahkan orang lain, bukan sebaliknya. Sabda Rasulullah SAW: “Barang siapa yang mempermudah urusan mereka yang kesusahan, maka Allah akan memermudahkan urusannya di dunia dan akhirat.” (Hadis Riwayat Muslim).