Sayangi buah pinggang anda

BUAH PINGGANG merupakan antara organ yang memainkan peranan penting dalam mengekalkan fungsi tubuh yang sihat. Ia mempunyai keupayaan menapis bagi membolehkan badan membuang lebihan yang tidak diingini dan pada masa yang sama mengawal cecair secara optimum untuk badan.

Di samping itu, buah pinggang juga mempunyai fungsi lain termasuk pengeluaran darah, mengawal tekanan darah serta menghasilkan hormon yang menguruskan kesihatan tulang.

Namun masih ramai yang beranggapan mereka cukup sihat sehingga tidak pernah menjalani pemeriksaan kesihatan dan fenomena ini termasuk bagi masalah kerosakan buah pinggang.

Menurut Pakar Nefrologi Hospital Kuala Lumpur (HKL) Dr Wan Hazlina Wan Mohamad, penyakit buah pinggang kebiasaannya tidak mempunyai simptom dan boleh berlarutan sehingga bertahun lamanya.

Malah kebanyakan pesakit di negara ini hanya mengetahui status kesihatan mereka selepas fungsi organ penting itu berbaki bawah 15 peratus.

Jelasnya, simptom penyakit itu hanya akan muncul apabila fungsi buah pinggang tinggal 15 peratus sahaja seperti bengkak kaki, sembab muka, kencing kerap waktu malam atau kurang kencing, cepat letih, hilang selera makan, loya dan muntah, kencing berbuih serta susah untuk bernafas.

Apa yang penting untuk difahami adalah kerosakan buah pinggang ini berlaku dalam keadan kita tidak sedar dan secara senyap.

Di Malaysia, masalah kegagalan buah pinggang semakin meningkat saban tahun dipercayai akibat gaya hidup dan tabiat pemakanan yang tidak sihat.

Punca utamanya adalah penyakit kencing manis yang juga penyakit tertinggi dihidapi penduduk ketika ini, penyakit lain yang turut menyumbang adalah tekanan darah tinggi, kegemukan, keradangan buah pinggang, batu karang, merokok serta pengambilan ubat tahan sakit tanpa preskripsi doktor.

Sebab itulah diwujudkan Hari Buah Pinggang Sedunia yang disambut 14 Mac setiap tahun sebagai memberi kesedaran pentingnya kesihatan organ kepada manusia.

Penyakit ini mempunyai lima tahap dengan tahap kronik tahap lima kemungkinan perlu menjalani dialisis atau pemindahan organ bagi menyokong fungsi tubuh untuk kembali normal sudah tentu memerlukan kos tinggi mencecah ribuan ringgit sebulan.

Oleh sebab itu, Kerajaan Sarawak mengambil langkah proaktif dengan menyediakan peruntukan dalam Skim Bantuan Khas Pesakit Buah Pinggang bagi membantu golongan B40 dan M40 membiayai kos rawatan.

Bantuan khas itu mula dilaksanakan pada tahun 2020 dengan peruntukan sebanyak RM4.6 juta melibatkan bantuan klinikal, pemindahan buah pinggang, pengangkutan dan 30 unit mesin hemodialisis baharu.

Antara lain bantuan klinikal merangkumi (pembayaran) pemasangan Arteriovenous Fistula (AVF) secara ‘one-off’ sehingga RM3,000, suntikan Erythropoietin (EPO) sehingga RM240 sebulan dan rawatan hemodialisis maksimum RM200 untuk setiap pesakit bagi setiap sesi rawatan.

Sementara bantuan pemindahan buah pinggang berjumlah RM5,000 turut diberikan bagi sokongan dari segi pengangkutan dan penginapan kepada pesakit dalam tempoh dua bulan menjalani rawatan susulan di Hospital Kuala Lumpur.

Menurut rekod Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak pada 2020, daripada 3,665 pesakit buah pinggang di negeri ini, sebanyak 3,192 menjalani rawatan hemodialisis, 352 menjalani rawatan hemodialisis air atau Continuous Ambulatory Peritoneal Dialysis (CAPD) dan 121 orang menjalani pemindahan organ itu.

Walaupun Sarawak antara negeri yang terendah pesakit buah pinggang di Malaysia, Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata inisiatif itu penting dalam usaha kerajaan negeri menangani isu rakyat menghidap penyakit komplikasi kesihatan.

Ini kerana pesakit biasanya mempunyai kualiti hidup yang rendah kerana tidak dapat melaksanakan aktiviti harian secara normal yang akhirnya mengganggu emosi seperti cepat putus asa, kemurungan, rasa rendah diri serta turut mengalami perubahan fizikal dengan penurunan berat banda yang mendadak.

Justeru, keprihatinan Kerajaan Sarawak menjaga kebajikan rakyatnya ini wajar dicontohi kerajaan negeri lain di Malaysia lebih-lebih lagi negeri yang mempunyai kadar pesakit tinggi kerana ia dapat meringankan beban masyarakat yang ditimpa musibah terutama golongan kurang berkemampuan.

Dalam masa yang sama rakyat itu sendiri harus melakukan pemeriksaan kesihatan setiap tahun, mengamalkan cara hidup sihat termasuk pengambilan makanan, rutin senaman serta pengawalan berat badan sebagai langkah pencegahan awal. Tinggalkan minuman manis, makanan yang berkalori tinggi atau bergaram tinggi.

Sebaliknya ambil makanan yang semula jadi seperti sayur dan ayam segar, malah garam diganti dengan perasa semula jadi seperti lada hitam, lada putih atau serbuk kari. Ingat, sayangi buah pinggang anda! Jagalah dengan sempurna supaya buah pinggang kita dalam keadaan efisien untuk terus berkerja.

Suara Sarawak