SAMARAHAN: Penguasaan pemain berpengalaman dari Sabah ternyata membuahkan hasil buat dua pasukan selepas menduduki dua tangga teratas Kejohanan Liga Badminton Tertutup 3 on 3 Kelab Ada Chanz yang telah berakhir, Sabtu lalu.
Keputusan akhir menyaksikan dua pasukan iaitu Kumpulan 8 dan 9 saling berkongsi 21 mata hasil liga telah berlangsung bermula awal Oktober lalu.

Kelebihan ternyata memihak kepada pasukan 9 yang diwakili Ahmad Mail, Awg Mohamad Awg Ni dan Sazali selepas hanya mencatat lapan mata kekalahan.
Sekali gus menobatkan pasukan yang diperkuat dengan pemain berpengalaman dari Semporna, Sazali meraih kedudukan johan.

Berbanding kumpulan 8 yang dibarisi oleh Awang Ahmad Awg Hossen, Jun dan Haliqul Lenando dari Lahad Datu yang merekodkan mata kalah berjumlah 11 mata menyebabkan mereka sekadar berpuas hati menduduki tangga kedua.
Manakala kumpulan 1 diwakili Shahrul, Geromy dan Kana merangkul kedudukan di tempat ketiga dengan mengutip 18 mata secara keseluruhan.

Terdahulu, seramai 12 pasukan merangkumi sekitar 40 pemain tempatan berentap sepanjang kejohanan yang dilangsungkan di Dewan Badminton Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kota Samarahan.
Wakil Pengurusan Penganjur, Aszriel Peter Abdullah berkata, kejohanan kali ini berjalan lancar dengan kerjasama baik khususnya daripada pihak peserta dan perwakilan berkaitan.
“Kita berharap platform sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang.
“Semestinya kita mahukan lebih ramai penyertaan daripada para belia yang juga peminat sukan bulu tangkis khususnya mereka yang berada di kawasan Samarahan,” ujarnya kepada Arena Suara Sarawak.
Beliau dalam pada itu menzahirkan kepada pihak agensi serta individu yang menjadi penaja serta memberi sokongan dalam memastikan kejohanan berjalan lancar.