ARTIKEL

Sharbini ketika berucap sempena lawatan Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ke Projek Ladang Solar Terapung Batang Ai di sini, hari ini. - Foto Mohd Alif Noni

SEB rancang perluas solar terapung Batang Ai

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BATANG AI: Sarawak Energy Berhad (SEB) merancang memperluas projek ladang solar terapung di Empangan Hidroelektrik (HEP) Batang Ai dengan peningkatan kapasiti sehingga 160 Megawatt (MW).

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Sarawak Energy, Datuk Sharbini Suhaili berkata ketika ini, fasa pertama projek itu berjalan lancar dengan mencapai 35 peratus siap, dan dijangka siap pada Oktober tahun ini.

“Pembangunan ladang solar terapung Batang Ai menandakan permulaan perjalanan solar terapung Sarawak.

“Memang, Sarawak Energy sudah pun meneroka kemungkinan fasa dua kemudahan ini di Batang Ai, dengan kapasiti sehingga 160MW.

“Kajian sedang dijalankan dan kami merancang untuk mengumumkan fasa dua ini sekiranya kajian mengesahkan kebolehlaksanaannya.

“Apabila membincangkan ladang solar terapung HEP Batang Ai, adalah penting untuk mengakui bahawa tenaga solar dan kuasa hidro adalah gabungan yang baik,” katanya berucap sempena lawatan Premier Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg ke Projek Ladang Solar Terapung Batang Ai di sini, hari ini.

Menurutnya, projek ladang solar terapung HEP Batang Ai merupakan langkah penting dalam strategi tenaga boleh diperbaharui Sarawak, yang menggabungkan kuasa hidro dan solar untuk meningkatkan kelestarian dan mengurangkan pelepasan karbon di wilayah tersebut.

Katanya apabila siap, projek dengan kapasiti 50MW itu dijangka dapat mengurangkan sebanyak 52 kilo tan pelepasan karbon setiap tahun sekali gus memberi sumbangan yang signifikan dalam usaha penyahkarbonan Sarawak.

Menjelas lanjut, beliau berkata projek itu mula dibina pada 20 Jun 2023 menerusi usaha sama antara Sarawak Energy, China Power International Holdings dan firma tenaga solar, Trina Solar.

“Setelah siap, ia akan menjadi loji solar terapung terbesar di Malaysia, merangkumi 190 hektar kawasan permukaan takungan dan merupakan generasi hibrid pertama antara hidro dan solar di negara ini,” katanya.

Sementara itu, Sharbini berkata kajian alam sekitar yang meluas termasuk Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) menunjukkan bahawa panel solar terapung akan memberi kesan minimum ke atas kualiti air takungan dan biodiversiti, menekankan komitmen Sarawak Energy dalam kelestarian.

Katanya dalam sepanjang proses pembinaan, Sarawak Energy komited untuk komunikasi yang telus dengan komuniti tempatan dan pihak berkepentingan, mematuhi langkah keselamatan yang ketat, piawaian alam sekitar dan amalan mampan untuk meminimumkan kesan ekologi.

Beberapa pekerja menjalankan kerja pemasangan solar terapung di HEP Batang Ai, yang dijangka siap menjelang Oktober tahun ini. – Foto Mohd Alif Noni

Pada masa yang sama, beliau berkata projek ladang solar terapung juga akan mewujudkan peluang pekerjaan, perniagaan dan pembelajaran untuk masyarakat setempat.

Katanya ia termasuk pemindahan kemahiran, penyewaan bot dan pengurusan tapak sekali gus mempelbagaikan sumber pendapatan di kawasan tersebut.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU