SEB setaraf utiliti terbaik serantau

KUCHING: Sarawak Energy Berhad (SEB) berjaya mencapai kemajuan besar sejak 100 tahun lalu dalam transformasi daripada utiliti tradisional kepada syarikat tenaga pemaju moden dan tangkas dengan cita-cita serantau.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SEB Datuk Sharbini Suhaili berkata, SEB mula bertapak pada 1921 apabila ditubuhkan sebagai unit dalam Jabatan Kerja Raya membekalkan elektrik kepada orang awam. Kini, syarikat milik Kerajaan Sarawak ini mempunyai lebih daripada 5,400 pekerja dan 710,000 data pelanggan sekali gus mencapai sasarannya menjadi pembangun tenaga boleh diperbaharui terbesar di Malaysia.

“Peta jalan strategik Kecemerlangan Sarawak Energy 2022 kami adalah rangka tindakan untuk menyatukan dan memfokuskan organisasi kami ketika kami berusaha untuk setaraf dengan utiliti terbaik di rantau ini,” katanya.

Beliau menegaskan perkara tersebut semasa berkongsi perjalanan transformasi dalam sesi kemas kini tahunan media di sini.

Menurut Sharbini, tumpuan kepada tenaga hidro membolehkan eksport elektrik ke Kalimantan Barat, Indonesia dengan prospek pelanggan eksport tambahan pada 2023 ke Sabah. Beliau juga berkata, SEB berjaya meningkatkan pengalaman khidmat pelanggan kepada 95.06 peratus setakat 14 Disember lalu berbanding 77.42 peratus pada 2016 diukur oleh Indeks Kepuasan Pelanggannya.

“System Average Interruption Duration Index (SAIDI) untuk Penjanaan, Penghantaran dan Penagihan kami meningkat 70 peratus sejak 2016.

“Kami mencatat 72.5 minit pada November 2020 berbanding 242 minit pada 2016,” jelasnya.

SAIDI merekodkan bilangan minit pelanggan mengalami gangguan bekalan elektrik. Selain itu, katanya, dalam menyediakan bekalan elektrik seluruh Sarawak menjelang 2025, SEB bekerjasama rapat dengan Kementerian Utiliti sejak 2009.

Menurutnya, sebanyak 150,000 isi rumah menerima bekalan elektrik di bawah pelbagai strategi elektrik luar bandar dan menjangkakan mencapai 97 peratus elektrik luar bandar dalam beberapa bulan akan datang.

Suara Sarawak