Sebanyak 23,400 dos vaksin Covid-19 fasa pertama tiba di Kuching pada jam 6.20 petang tadi

KUCHING: Sebanyak 23,400 dos vaksin Covid-19 fasa pertama tiba di Kuching pada jam 6.20 petang tadi.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata, 23,400 dos vaksin terbabit adalah untuk petugas barisan hadapan.

“Hari ini kita menyaksikan acara bersejarah dengan kedatangan 23,400 dos vaksin Covid-19 bagi fasa pertama yang diberikan kepada petugas barisan hadapan.

“Kita akan memulakan program vaksinansi petugas barisan hadapan di Kuching dan Sibu bermula Jumaat ini,” katanya

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas acara menerima vaksin Covid-19 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK) dari Lapangan Terbang Subang.

Justeru Uggah yang juga Timbalan Ketua Menteri mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin kerana memastikan Sarawak mendapat bahagiannya dalam program vaksinasi terbabit.

“Pemberian vaksin ini adalah jaminan kepada keselamatan penduduk Sarawak yang kita saksikan hari ini,” ujarnya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN), Dr Chin Zin Hing vaksin berkenaan akan dihantar ke pusat penyimpanan vaksin di Kuching dan Sibu.

“Kemudian ia akan dihantar ke pusat vaksin di Bahagian Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman, Sarikei, Sibu, Kapit dan Mukah,” katanya.

Suara Sarawak