JIKA membabitkan soal nyawa anak-anak, saya memang seorang yang terlalu takut membayangkan kehilangan.
Membaca berita seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun dibunuh dan dibiarkan selepas kehilangan nyawa benar-benar merentap jiwa keibuan saya. Saya membayangkan diri berada di tempat keluarga anak malang itu.
Bagaimana keluarga menerima berita anak yang dihantar ke sekolah yang mungkin sebelum ke sekolah masih bersalam dan meminta sesuatu sebelum keluar rumah, tidak akan pulang lagi?
Lebih memilukan apabila khabar yang berlegar mendakwa kejadian itu berpunca daripada cinta yang ditolak.
Mungkin ada benarnya, mungkin juga tidak dan masyarakat tidak boleh membuat kesimpulan berdasarkan bukti di tempat kejadian.
Namun, satu perkara yang tidak boleh kita abaikan ialah persoalan tentang dunia emosi remaja hari ini.
Bagaimana seorang remaja berusia 16 tahun boleh memiliki perasaan yang begitu kuat sehingga jika benar dakwaan itu, penolakan cinta bertukar menjadi sesuatu yang begitu tragis?
Membacanya membuatkan saya sekali lagi mengulangi pesan kepada anak bujang saya.
Jika mencintai seorang perempuan, simpanlah sebahagian hati untuk kecewa dan dikecewakan.
Kerana cinta tidak semestinya berakhir dengan memiliki.
Adakalanya kita mencintai seseorang yang tidak memilih kita.
Dan kita perlu belajar menerima hakikat itu tanpa membenci, tanpa mengancam dan tanpa menyakiti.
Sekolah sepatutnya menjadi tempat anak-anak belajar, berkawan, bergelak ketawa dan membina masa depan.
Di situlah mereka mula mengenal dunia di luar rumah. Tetapi apabila sekolah menjadi tempat berlakunya kehilangan nyawa, kita tentu tertanya-tanya, apakah sebenarnya yang sedang berlaku dalam dunia anak-anak kita? Kita sering melihat remaja sebagai anak yang sudah besar.
Mereka mempunyai telefon sendiri, akaun media sosial sendiri dan semakin banyak kebebasan membuat keputusan Tetapi pada masa yang sama, mereka masih belajar memahami diri dan mengawal emosi sendiri.
Pada usia belasan tahun, mereka mula mengenal suka, rindu, cemburu, kecewa, penolakan dan takut kehilangan.
Bagi orang dewasa, perkara itu mungkin kelihatan kecil tetapi bagi seorang remaja, perasaan itu kadangkala terasa seperti seluruh dunia.
Sebab itu, kita perlu berhatihati apabila bercakap tentang remaja dan cinta. Cinta remaja bukan sesuatu yang salah.
Ia sebahagian daripada proses membesar.
Yang membimbangkan ialah apabila rasa cinta bercampur dengan rasa memiliki, cemburu melampau, tekanan rakan sebaya, pengaruh media sosial dan ketidakupayaan mengawal kemarahan.
Perasaan yang bermula sebagai suka boleh menjadi pergaduhan. Cemburu boleh berubah menjadi kawalan.
Kecewa boleh bertukar menjadi kebencian.
Dan apabila emosi menguasai fikiran, keputusan yang dibuat dalam beberapa minit boleh membawa penyesalan sepanjang hayat.
Persoalannya, adakah kita benar-benar mengajar anak-anak tentang perkara ini?
Bagi saya, ilmu yang tidak boleh mereka pelajari daripada halaman buku teks ini menjadi tanggungjawab ibu bapa.
Kita mengajar mereka mendapat keputusan peperiksaan yang baik.
Kita mahu mereka masuk universiti, mendapat pekerjaan dan mempunyai masa depan yang cerah.
Tetapi berapa ramai ibu bapa meluangkan masa untuk mengajar anak tentang perasaan, emosi dan cinta yang tumbuh bersama jiwa remaja mereka. Ajar mereka bagaimanakah jika cinta yang tidak berbalas?
Bagaimana menerima perpisahan?
Bagaimana mengawal cemburu dan kemarahan?
Lebih penting, bagaimana kita mengajar mereka, seseorang yang kita sayang tetap mempunyai hak untuk memilih?
Mungkin sudah tiba masanya pendidikan emosi diberikan perhatian yang lebih serius.
Anak yang mendapat A dalam peperiksaan belum tentu tahu mengurus hati yang patah.
Anak yang bijak di dalam kelas belum tentu tahu mengawal kemarahan.
Dan anak yang kelihatan ceria di rumah belum tentu tidak sedang menyimpan pergolakan.
Kadangkala ibu bapa hanya menyedari anak mempunyai masalah apabila sesuatu yang buruk sudah berlaku.
Sebelum itu, anak masih pulang ke rumah, makan bersama-sama keluarga dan masuk ke bilik bermain telefon.
Sebab itu, kita perlu lebih banyak bertanya dan lebih banyak mendengar.
Apabila anak mengaku mempunyai seseorang yang disukai, tidak semestinya kita perlu terus memarahinya.
Mereka mungkin tidak memerlukan ceramah panjang. Mereka hanya memerlukan seseorang untuk mendengar.
Guru juga mempunyai peranan penting. Sekolah bukan sekadar tempat mengejar keputusan akademik.
Guru mungkin menjadi orang pertama yang menyedari perubahan sikap, pengasingan diri, pergaduhan atau tekanan emosi seorang pelajar.
Kita tidak boleh menyerahkan semua tanggungjawab kepada guru, tetapi sekolah perlu mempunyai ruang yang selamat untuk anak-anak mendapatkan bantuan sebelum masalah menjadi lebih besar.
Kita juga perlu berhenti menganggap masalah remaja sebagai perkara kecil hanya kerana mereka masih muda. Mereka kecil pada usia, tetapi perasaan mereka boleh sangat besar.
Kematian seorang remaja bukan sekadar berita yang kita baca hari ini sebelum beralih kepada berita lain. Ia sepatutnya menjadi cermin kepada kita semua sebagai ibu bapa.
Anak-anak kita bukan sahaja perlu diajar bagaimana mengejar kejayaan.
Mereka perlu diajar bagaimana mencintai tanpa memiliki, menerima penolakan tanpa membenci, menghadapi kehilangan tanpa menghancurkan diri atau orang lain dan mengawal marah sebelum marah mengawal mereka. Kita tidak mampu menghalang semua hati daripada terluka.
Tetapi kita boleh mengajar anak bahawa hati yang terluka tidak memberi lesen untuk melukakan orang lain.
Dan sebelum kita bertanya siapa yang harus dipersalahkan selepas sesuatu tragedi berlaku, mungkin kita perlu bertanya kepada diri sendiri satu soalan yang lebih sukar: Sudahkah kita mengajar anak-anak kita bagaimana mengurus hati mereka sendiri?
Kerana jika kita benar-benar mahu menyelamatkan anakanak kita, mungkin sudah tiba masanya kita mengajar mereka bukan sahaja tentang masa depan, tetapi juga tentang hati mereka sendiri.






