Sebuah bot nelayan tempatan ditahan di perairan Bakam

MIRI: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menahan sebuah bot nelayan tempatan di perairan Bakam di sini, semalam kerana disyaki menjalankan aktiviti perikanan yang tidak mematuhi syarat.

Dalam kejadian jam 7 pagi itu, tiga individu warga asing turut ditemui di atas bot nelayan tersebut.

Pengarah APMM Zon Miri, Kapten Maritim Md Fauzi Othman dalam kenyataannya berkata, pihaknya berjaya mengesan bot tersebut yang terletak pada jarak lebih kurang 6.9 batu nautika dari pantai Bakam.

“Hasil pemeriksaan, didapati bot nelayan tersebut melakukan aktiviti penangkapan ikan kurang daripada 12 batu nautika yang mana telah menyalahi syarat yang tertera di dalam lesen yang dimiliki.

“Seramai tiga orang kru dijumpai termasuk seorang tekong adalah warga Indonesia dan mempunyai dokumen pengenalan diri yang lengkap,” katanya.

Ujar beliau, kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat lesen.

Smentara itu, beliau turut menegaskan bahawa Maritim Malaysia akan terus memperketatkan rondaan di sekitar perairan dan memohon agar komuniti maritim dapat menyalurkan maklumat berkenaan sebarang jenayah di laut.

Suara Sarawak