SARIKEI: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Tanjung Manis menahan sebuah kapal kargo berikutan gagal mengemukakan dokumen yang diperlukan.
Pengarah Zon Maritim Tanjung Manis Komander Maritim Gilbert Tinggak Numpang berkata, penahanan itu dibuat pada jarak kira-kira 5.8 batu nautika dari barat daya Muara Rajang pada jam 12.37 tengah hari semalam.

Sebelum itu katanya, aset ronda Maritim Malaysia melakukan operasi pemantauan dan berjaya mengesan kapal itu yang sedang berlayar dalam keadaan mencurigakan lebih kurang 1.2 batu nautika dari aset Maritim Malaysia.
“Hasil pemeriksaan dan penggeledahan mendapati vesel berkenaan dikendalikan oleh tiga orang kru warga tempatan berumur lingkungan 35 tahun hingga 58 tahun.
“Kapal berkenaan ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen ketika diperiksa oleh penguat kuasa,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, kapal dan kru diiringi masuk ke Jeti Terminal Tanjung Manis untuk siasatan lanjut di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.
Sehubungan itu, Maritim Malaysia mengingatkan komuniti maritim supaya mematuhi segala undang-undang sebelum melakukan sebarang aktiviti di laut.
Sebarang aktiviti yang mencurigakan atau kemalangan di laut boleh dilaporkan secara terus ke talian Malaysian Emergency Response Services (MERS) 999 atau Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Tanjung Manis (010-5063293) / Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak (082-432544) yang beroperasi 24 jam.