Sebuah kedai di Serian terbakar pagi tadi

SERIAN: Sebuah kedai menjual bahan dan peralatan kuih gagal diselamatkan dalam kejadian kebakaran yang berlaku, awal pagi tadi.

Insiden menyebabkan bangunan struktur kekal berkeluasan 30×60 kaki itu hangus 100 peratus di ruangan tingkat bawah premis.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan kejadian sekitar jam 5.22 pagi sebelum mengerahkan sepasukan anggota daripada Balai Bomba dan Penyelamat(BBP) Serian ke lokasi.

“Anggota operasi membuat kerja pemadaman secara ‘offensive’, iaitu masuk terus ke premis dan memadam punca api berlaku di tingkat bawah.

“Pemeriksaan lanjut mendapati tiada sebarang kecederaan atau kehilangan jiwa dilaporkan akibat kejadian,” jelasnya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, punca kebakaran bagaimanapun kini masih dalam siasatan.

Susulan itu katanya, operasi ditamatkan sepenuhnya pada jam 7 pagi.

LEKAS… Pasukan BBP Serian menerjah masuk ke bahagian bawah premis untuk memadam punca api

Suara Sarawak