KUCHING: Operasi mencari dan menyelamat (Op Carilamat) telah diaktifkan bagi mencari sebuah bot berwarna putih biru dipercayai tidak pulang bersama lima pemancing di sekitar perairan karam berumput sehingga tukun bass iaitu 9.3 batu nautika dari Santubong.
Pengarah Maritim Sarawak, Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus berkata pihaknya menerima maklumat daripada pemilik bot mengenai insiden kira-kira jam 7 pagi.
Katanya, bot berkenaan keluar dari Jeti 98 Fishing Village Santubong.
“Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Kuching telah mengaktifkan Op Carilamat pada jam 7 pagi tadi sejurus menerima laporan dan aset telah diatur gerak ke lokasi kejadian.
“Maklumat juga disalurkan kepada komuniti sekitar mengenai kejadian,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, keadaan cuaca pada hari ini agak baik dengan angin bertiup dari arah Tenggara, angin berkelajuan 10 hingga 20 km/jam dan ombak setinggi 0.5 hingga 1 meter.
Dalam pada itu, Maritim Malaysia menasihatkan komuniti maritim agar batalkan niat ke laut buat masa sekarang sekiranya cuaca buruk memandangkan keadaan cuaca di laut pada masa ini yang kurang baik terutamanya musim Monsun Timur Laut bermula dari bulan Oktober hingga Mac 2022.
Maritim Malaysia sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh Komuniti Maritim untuk melaporkan sebarang kecemasan di laut secara terus ke talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Negeri Sarawak ditalian 082-432544 yang beroperasi 24 jam.