
KUCHING: Sebuah rumah teres satu tingkat musnah sementara dua lagi rumah terjejas dalam kejadian kebakaran di Lorong Sungai Apong, Taman Heng Hua di sini, hari ini.
Ketiga-tiga rumah berkenaan didiami lima penghuni berumur antara 14 hingga 52 tahun.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian kira-kira jam 4.38 pagi.
Katanya, lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tabuan Jaya ke lokasi sambil dibantu lapan anggota dari BBP Padungan.
“Rumah pertama yang dijadikan bengkel telah terbakar 100 peratus, manakala rumah kedua terbakar 20 peratus dan rumah ketiga terbakar 10 peratus.

“Terdapat satu mangsa lelaki mengadu sesak nafas telah dihantar ke hospital oleh unit EMRS untuk mendapatkan rawatan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, pasukan pemadam menggunakan teknik ofensif dan defensif dengan bertindak membentang dua aliran 100 kaki dua pancutan dan dua salur bantu mula pam jentera dari sumber air pili bomba berdekatan sehingga api padam sepenuhnya.
Setelahnya memastikan keadaan benar-benar selamat dan tiada lagi punca nyalaan, pasukan bomba bersama jentera bertolak balik ke balai.




