Sedapnya mi udang Pekan Oya

OYA: Pekan Oya akan terus berkembang menjadi tempat pelancongan dengan pelbagai kemudahan kini sedang dibangunkan demi keselesaan dan tarikan pengunjung.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, penyediaan kemudahan dan mencantikkan kawasan di Pekan Oya akan dilaksanakan secara berperingkat-peringkat.

“Dalam membangunkan kemudahan di sini, kita menggunakan peruntukan Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) dan Projek Kecil Luar Bandar (MRP).

“Untuk kawasan Oya Square, sejumlah RM161,000 peruntukan daripada MRP 2020 telah kita gunakan dan untuk payung di sini sahaja RM14,950 diperuntukkan termasuk dengan proses pemasangan, diikuti papan tanda dan yang akan menyusul ialah projek bumbung Oya Walk,” katanya merasmian Plak Payung Sejahtera, Oya Square di sini kelmarin.

Jelasnya lagi, setiap kemudahan di kawasan tersebut perlu dibangunkan bagi membantu komuniti setempat menjalankan aktiviti perniagaan seperti kedai mi udang dan kedai warisan di Oya Square berkenaan.

“Kita mahu tempat ini menjadi tarikan pengunjung bukan sahaja dari luar Mukah tetapi dari merata tempat, kerana kita tahu keunikan yang ada di sini.

Makanan juga sedap dengan harga berpatutan dan tempat yang menarik.

“Kita juga memilih tema Pasar Warisan ini sebagai tarikan utama kerana ia melambangkan perpaduan sebagai tunjang utama Pekan Oya ini.

“Bagi kawasan Oya Square ini, kita mengecat secara berperingkat-peringkat termasuk membina bumbung agar pengunjung dan peniaga dapat menikmati kemudahan yang ada.

“Ini termasuk pemasangan banyak payung bagi mengindahkan kawasan ini,” ujarnya.

Fatimah menambah, bagi menampung jumlah pengunjung yang ramai datang ke gerai mi udang di sini, beberapa tempat parkir kereta dirancang untuk dibina di kawasan belakang gerai melalui kelulusan Jabatan Tanah dan Servei Sarawak.

“Melalui tambahan letak kereta ini, pengunjung yang datang ke sini tidak akan mengalami masalah mendapat tapak letak kereta kerana kita akan tambah 20 tempat letak kereta di belakang dan depan demi keselesaan semua.

“Kita juga minta peniaga untuk beroperasi dari pagi kerana dengan cara ini kita dapat bantu mereka meningkatkan peluang perniagaan,” ujarnya lagi.

Suara Sarawak