SEDC: Cadangan bina kereta kabel di Gunung Santubong masih belum diputuskan

KUCHING: Cadangan bagi membina kereta kabel bertujuan membawa pelawat keGunung Santubong masih belum diputuskan, kata Pengerusi Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (SEDC) Tan Sri Abdul Aziz Husain.

Walaupun aktivis alam sekitar membantah inisiatif yang dicadangankan itu, SEDC masih mempertimbangkan cadangan tersebut, katanya.

“Ini bukan cadangan kami (SEDC). Ia dicadangkan oleh pihak lain tetapi kami diminta untuk mempertimbangkannya, kami akan memikirkan cara terbaik untuk menarik orang ramai ke Semenanjung Damai. Kami ingin tahu sama ada ia adalah kereta kabel atau perkara lain,” katanya kepada pemberita semasa melakukan lawatan ke Kampung Budaya Sarawak (SCV) di Santubong di sini, hari semalam..

Dalam pelan induknya, SEDC akan mengkaji cadangan itu dan berharap ia dapat diputuskan kelak dan mengambil maklum mengenai dakwaan oleh aktivis alam sekitar bahawa perkhidmatan kereta kabel di gunung berkenaan akan menjejaskan persekitarannya.

“Saya bersetuju bahawa ia akan menjejaskan alam sekitar tetapi kita harus mencari beberapa kaedah alternatif supaya menjadikan Semenanjung Damai lebih menarik dan mudah diakses oleh orang ramai. Adakah perkhidmatan kereta kabel antara jalan penyelesaiannya? Saya tidak pasti sehingga kami memuktamadkan kajian mengenainya,” katanya.

Abdul Aziz berkata pelan induk itu akan mengambil kira bukan sahaja isu alam sekitar tetapi juga warisan, kesan sosial dan manfaat kepada rakyat.– BERNAMA

Suara Sarawak