
PAKAIAN terpakai (bundle) sudah lama mendapat tempat di hati rakyat Malaysia.
Meskipun tidak ramai yang menggemarinya, pakaian ini memiliki penggemar mereka tersendiri malah angkanya juga semakin bertambah.
Sememangnya barangan terpakai ini merupakan barang lama yang sudah tidak boleh dijual atas kecacatan tertentu tetapi kebanyakannya masih berkualiti dan barang berjenama.
Ini menyebabkan peminatnya yang tersendiri sanggup ‘menyelam’ di kedai ataupun jualan secara dalam talian di media sosial.
Bukan itu sahaja, di bandar ini, kita lihat lambakan kedai bundle di seluruh pelosok bandar yang diumpamakan seperti cendawan tumbuh selepas hujan.
Tidak kira di negeri mana kita berada, pasti akan terlihat kedai-kedai bundle tidak kira kecil atau besar.
Tetapi sebelum ini, kita perlu ketahui apakah itu bundle?
Pakaian bundle sebenarnya pakaian terpakai yang diimport dari luar negara seperti Amerika Syarikat, Jepun, United Kingdom, Korea dan negara Eropah lain.
Pakaian ini akan dikumpul dan dibungkus di dalam guni kemudian dijual kepada pembekal secara pukal.
Selain pakaian terpakai, ada juga pakaian baru dan berjenama. Kita boleh jumpa pakaian serta penanda yang masih baru dan belum dipakai.
Maka tidak hairanlah jika ada sesetengah baju yang dijual pada harga yang tinggi walaupun berstatus bundle.
Kenapa pula ramai orang memilih untuk membeli pakaian terpakai? Hal ini ekoran produk fesyen mewah seperti pakaian, barangan kulit, dan aksesori tidak mampu dimiliki oleh semua golongan, sekali gus menyebabkan pengguna pada masa sekarang beralih kepada produk fesyen terpakai yang dapat dibeli pada harga yang jauh lebih murah.
Sebagai contoh, seseorang pembeli boleh mendapatkan sehelai baju-T dengan harga RM5 sedangkan di butik jenama yang sama, ia dijual pada harga yang lebih mahal.
Justeru mereka berfikir kenapa perlu membazir sedangkan boleh dapat yang lebih murah pada jenama yang sama?
Kita juga harus membuang tanggapan bahawa pakaian terpakai ini adalah pakaian yang kotor, geli untuk membelinya dan memandang sebelah mata kepada pakaian ini dan menganggap baju bundle ini tidak mempunyai ‘kelas’.
Kita juga perlu ingat bahawa pakaian terpakai juga membawa anak-anak muda mahupun mereka yang menggangur mengorak langkah baru menceburi bidang perniagaan.
Pada zaman milenium ini, terdapat anak muda yang giat menceburi bidang perniagaan dan perusahaan.
Bidang yang dilihat mudah diceburi dan sesuai dengan jiwa anak muda yang lebih gemar meluangkan masa bermain peranti elektronik seperti komputer riba, telefon pintar dan tablet.
Golongan muda ini telah menjadi antara orang yang berpengaruh di media sosial seperti di Instagram, WhatsApp dan Facebook.
Peluang ini digunakan sebaik mungkin oleh golongan ini untuk mempromosi dan memperkenalkan produk-produk atau barangan yang dijual oleh mereka seperti menjual barangan terpakai di media sosial.
Perniagaan yang diceburi rakyat ini juga merupakan kunci untuk membantu ekonomi Malaysia kembali ke landasan meyakinkan seperti sebelum ini, sekali gus dapat membantu mendorong pemulihan ekonomi.
Selain dapat membantu anak muda terlibat dalam perniagaan, isu pakaian terpakai ini juga dapat mengelakkan seseorang individu itu melakukan pembaziran.
Dari sini, kita mula fikir bagaimana untuk mengawal pembaziran dan pembuangan pakaian terpakai secara berleluasa.
Hal ini kerana ramai daripada kita sentimental dan suka menyimpan barang-barang lama di rumah.
Daripada barangan ini melambak di rumah, lebih baik kitar semula atau jual semula pakaian terpakai ini. Tetapi, kita juga perlu tahu bahawa barangan terpakai ini juga boleh jadi barangan yang diidamkan oleh orang lain.
Hal ini kerana tidak semua orang memiliki kemewahan atau kemampuan kewangan untuk terus membeli barangan baharu setiap kali mereka rasa mereka mahu.
Mungkin dengan pemberian pakaian ini kepada mereka yang lebih memerlukan seperti mangsa kebakaran, rumah amal kebajikan, golongan asnaf dan sebagainya ia akan membawa makna yang lebih besar kepada golongan ini. Manakala, jika seseorang individu itu mengambil langkah untuk tidak menjualnya atau tidak memberi kepada orang lain dengan erti kata membuang pakaian ini, ia juga akan menyebabkan pencemaran alam sekitar.
Ia kerana fabrik diperbuat daripada bahan sintetik seperti beg plastik mengambil masa ratusan tahun untuk terurai.
Langkah mengitar semula pakaian adalah cara paling bermanfaat bagi mengelakkan pencemaran serta pengeluaran intensif tenaga pakaian baru.
Melalui kitar semula, kita dapat mengurangkan pencemaran alam sekitar.
Diharapkan usaha seumpama ini dapat diterapkan dalam gaya hidup masyarakat atau komuniti pelbagai bangsa di Malaysia yang tidak melihat pakaian terpakai ini sesuatu yang tidak wajar dibeli dan dipakai