Sediakan lot cepatkan proses sukat tanah

KUCHING: Ketua Kaum dan Ketua Masyarakat Bidayuh serta penduduknya disaran untuk menyediakan lot pertanian mereka untuk mempercepatkan proses penyukatan tanah mereka.

Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Datuk Roland Sagah Wee Inn berkata, kerja penyukatan perimeter akan dilaksanakan susulan kelulusan Jabatan Tanah dan Survei (JTS).

Menurutnya, penduduk kampung juga boleh mendapatkan bantuan daripada Persatuan Kebangsaan Dayak Bidayuh (DBNA) jika berlaku konflik dalam tuntutan tanah. “Bagi mereka yang belum menyediakan lot pertanian, saya sarankan untuk lakukan dalam masa terdekat.

“Apabila sudah mempunyai surat hak milik tanah, mereka akan mempunyai kelebihan untuk mengusahakan tanah dan meningkatkan taraf hidup mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penyampaian Warta Rizab Komunal Bumiputera (Pertanian) Seksyen 6 Kanun Tanah Negeri (KTN) dan Surat Hak Milik Tanah Seksyen 18 KTN di Balai Raya Kampung Sinjok, Siburan pada Selasa.

Majlis tersebut disempurnakan oleh Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan. Tambahnya, Kerajaan Sarawak juga memberi keutamaan kepada kampung tradisi untuk menjalankan inisiatif kerja penyukatan.

“Dengan adanya surat hak milik tanah, mereka boleh memohon pinjaman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) atau memohon pinjaman bank untuk membina rumah, membiayai pendidikan anak mereka atau memulakan perniagaan,” kata Sagah lagi.

Beliau juga mengingatkan penduduk di sini agar tidak menjual tanah mereka setelah menerima surat hak milik tanah.

Mengenai kerja penyukatan tanah di seluruh negeri, Sagah memberi jaminan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan terus memperjuangkan hak dan kepentingan rakyat.

“Kerajaan GPS mahu kaum bumiputera memiliki surat hak milik. “Kerajaan memberi hak milik kepada kita,” katanya.