Sediakan payung sebelum hujan, Kem Belia Mukah jadi pusat kuarantin

MUKAH: Dewan Sukan Kem Belia Mukah kini digazetkan sebagai Pusat Kuarantin dan Pusat Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) bagi menempatkan lebih 50 pesakit berisiko rendah Covid-19.
Residen Mukah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Bahagian (JPBB) Mukah Hamdiah Bakir memaklumkan bahawa Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) mahu agar satu PKRC disediakan untuk bahagian Mukah.
“Oleh itu, JPBB Mukah dan Hospital Mukah serta Jabatan Kesihatan menyediakan tempat ini, memandangkan Hospital Bintulu dan Hospital Sibu kini menerima ramai pesakit.
“Rawatan di PKRC ini akan merawat pesakit Covid-19 berisiko rendah iaitu kategori satu untuk tiada gejala dan kategori dua untuk bergejala ringan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas selesai menjalani gotong-royong di Kem Belia Mukah pada Khamis.
Jelasnya lagi sejumlah 50 petugas barisan hadapan akan ditugaskan di sini.
” Dewan ini menyediakan sebanyak 50 tempat untuk pesakit termasuk 25 katil dan beberapa khemah Nadma serta pelbagai lagi peralatan lain yang diperlukan oleh hospital.
“Kita akan terus membantu persiapan ini dalam tempoh 2 hari ini,” jelasnya sebentar tadi.