KUCHING: Program Segar@Mesra diperluaskan ke empat stesen Petronas di Sarawak bermula Disember ini iaitu Stesen Petronas Lanang Barat dan Stesen Petronas Lanang 2 di Sibu serta Stesen Petronas Matang Jaya dan Stesen Petronas Astana di Kuching.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata program berkenaan akan menawarkan dua kategori produk iaitu Ayam Permata yang dikeluarkan oleh Syarikat Comerich Sdn Bhd dan ikan yang dibekalkan oleh Persatuan Nelayan Negeri Sarawak (Penesa)
Menjelas lanjut, beliau berkata bagi Ayam Permata, ia merupakan produk yang dikeluarkan di bawah inisiatif Perbadanan Pembangunan Ekonomi Sarawak (PPES) bagi membantu penternak tempatan menembusi pasaran halal di negeri ini.
“Produk-produk ayam ini adalah bebas penyakit serta bebas suntikan hormon dan antibiotik,” katanya ketika melancarkan peluasan Program Segar@Mesra di Stesen Petronas Lanang Barat, Sibu hari ini.

Manakala, Alexander berkata Penesa akan membekalkan pelbagai jenis ikan segar beku di bawah jenama Q-Fish yang menggunakan teknologi Individual Quick Freezing (IQF).
“Teknologi IQF ini mampu menjamin kesegaran ikan sejuk beku setanding dengan ikan yang dijual di pasaran, malah kualitinya juga tidak perlu diragui kerana produk ini tidak terdedah kepada persekitaran,” katanya.
Program Segar@Mesra telah diperkenalkan di Semenanjung pada awal tahun ini, yang menyediakan platform pemasaran produk pertanian dan segar beku terus daripada pengeluar kepada pengguna dengan produk-produk seperti ikan, hasil ternakan, sayur-sayuran dan buah-buahan segar dipasarkan untuk manfaat pengguna tanpa penglibatan orang tengah.
Usaha ini diharap dapat memberikan manfaat khususnya kepada kumpulan isi rumah B40 dan M40.
Selain itu, ia juga bagi memberi ruang pasaran baru kepada golongan petani, penternak dan nelayan untuk memasarkan hasil pertanian terus kepada pengguna dengan harga yang berpatutan.
Sehingga kini, terdapat 38 buah stesen Petronas di Semenanjung yang terlibat dengan Program Segar@Mesra ini.