Segera bina Laluan Utama Kedua

KUCHING: Adun Jemoreng Datuk Dr Juanda Jaya menyifatkan tindakan PSB yang menentang projek Laluan Utama Kedua sebagai tidak berhati perut.

Beliau kecewa mendengar presiden parti itu Datuk Seri Wong Soon Koh dan ahlinya yang kebanyakan mewakili kawasan luar bandar menentang projek berkenaan kerana ia merupakan impian penduduk luar bandar dan pesisir.

“Tindakan itu kejam. Soon Koh dan PSB beranggapan laluan itu tidak sesuai dan membazir sedangkan ia merupakan impian setiap penduduk luar bandar yang harus kerajaan realisasikan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Menurutnya, projek itu memastikan jaringan perhubungan berlaku agar aktiviti ekonomi dapat ditingkatkan untuk memasarkan produk pertanian dan perikanan ke pusat bandar.

Juanda turut mempersoalkan tindakan Soon Koh dan PSB yang suka melihat kawasan luar bandar terus mundur.

“Beliau mahu semua kawasan pesisir terus tidak memiliki jaringan, tidak ada jalan raya serta kemudahan asas sama seperti Dun Bawang Assan yang diwakilinya atau Selangau yang pernah diwakili oleh Datuk Joseph Entulu?

“Kedua-duanya sudah 30 tahun aktif dalam politik sepatutnya faham apa yang rakyat luar bandar impikan.

“Kami tidak mahu kawasan pesisir terus mundur. Ini impian rakyat luar bandar. Jadi jangan sesekali musnahkan impian mereka,” katanya.

Tambahnya, kesetiaan penduduk kawasan luar bandar pesisir kepada parti pemerintah selama ini memang wajar dibalas dengan pembangunan dalam skala besar dalam semua perkara.

“Cukuplah membangunkan kawasan bandar sahaja… wakil rakyat kawasan bandar boleh duduk tenang kerana segala kemudahan di bandar telah lengkap.

“Ia berbeza dengan luar bandar yang sejak lebih setengah abad merdeka tetapi masih haus dengan pembangunan.

“Saya juga berasa pelik apabila pemimpin PSB seperti tidak tahu niat Kerajaan Sarawak untuk membina jaringan kemudahan air, elektrik, Internet, membaiki sekolah daif dan sebagainya.

“Kini laluan itu dipertikaikan dan anggap tidak penting.

Sudah-sudahlah menunjukkan sifat tidak mahu melihat kemajuan di luar bandar,” ujarnya.

Jelasnya, terbinanya Laluan Utama Kedua itu sekurang-kurangnya penduduk luar bandar memiliki banyak pilihan untuk melakukan perjalanan dan pergerakan akan lebih pantas dan kurang kesesakan lalu-lintas.

“Contohnya dalam kawasan saya di Dun Jemoreng, kami terpaksa membuat pusingan ke Sibu atau Selangau.

“Ini membuang wang, minyak dan masa. Jika laluan ini dibina, kawasan kami juga akan mendapat limpahan pembangunan,” jelasnya lagi.

Beliau juga berharap Kerajaan Sarawak segera membina projek itu dan tidak melayan suara-suara yang antipembangunan.

“Kita mahu kawasan luar bandar terhubung dengan mudah melalui pelbagai jalan ke kawasan bandar utama dan bandar lain seluruh Sarawak.

“Kami yang sering menggunakan laluan Pan Borneo atau jalan pesisir tahu betapa peritnya apabila pilihan tidak banyak.

“Justeru, pembangunan jalan raya perlu diperbanyak dan dipercepatkan di Sarawak,” tegasnya.

Suara Sarawak