Segera ke hospital untuk pemeriksaan awal

KUCHING: Rakyat Sarawak yang pulang dari negara China dalam tempoh 14 hari diminta untuk pergi ke hospital bagi mendapatkan pemeriksaan awal novel koronavirus (2019-nCoV).

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Dr Sim Kui Hian berkata, buat masa ini beliau menasihati agar orang ramai agar mengamalkan kebersihan diri.

“Bagi mereka yang pulang dari negara China selama 14 hari lepas, saya menasihati mereka supaya berjagajaga dan jika mendapati demam dan batuk, individu tersebut harus segera pergi ke hospital.

“Selain itu, terus amalkan kebersihan diri seperti kerap membasuh tangan dan jika boleh elakkan keluar di tempat awam,” katanya kepada media pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baharu Cina di kediamannya pada Sabtu.

Turut hadir ialah Yang di-Pertua Negeri Tun Abdul Taib Mahmud dan isteri Toh Puan Ragad Kurdi Taib, Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan tetamu lain.

Menurutnya, setakat ini belum ada penawar untuk novel koronavirus dengan tujuh hari pertama jangkitan, virus itu tidak menampakkan simptom.

“Maklumat lanjut berkaitan virus ini hendaklah didapati daripada Kementerian Kesihatan kerana ia di bawah bidang kuasa mereka.

“Namun, pendapat saya sebagai seorang pakar perubatan, virus ini amat membimbangkan kerana wabak virus itu sama seperti Pernafasan Akut Teruk (SARS),” katanya. Tegasnya, penyebaran virus bekenaan boleh menyebabkan jangkitan pada paru-paru yang dikenali sebagai Pneumonia. “Novel koronavirus sama seperti SARS.

Hanya seorang warga dari Korea Selatan datang dari Timur Tengah telah menyebabkan lebih 20 orang meninggal dunia selain mengakibatkan 200 yang lain terpaksa dikuarantin walaupun kemudahan perubatan di Korea adalah berkelas dunia.

“Oleh itu, kita harus memperketatkan lagi pintu masuk ke negeri ini agar boleh mencegah penularan wabak berkenaan,” katanya.

Suara Sarawak