PUSA: Kerajaan digesa mempercepatkan pelaksanaan dua projek pembangunan utama bernilai RM9 juta di Kampung Semarang yang telah diluluskan sebelum ini.
Adun Beting Maro Razaili Gapor berkata, kerosakan teruk yang dialami Masjid Darul Ihsan selepas dilanda ombak petang Sabtu lalu serta kes kubur lama terjun ke laut sepatutnya dijadikan justifikasi utama projek benteng dan masjid baharu harus dipercepatkan.
“Projek pertama melibatkan pembinaan benteng penahan hakisan dengan kos RM6.5 juta, dan kedua pembinaan masjid baharu bernilai RM2.5 juta.
“Saya agak kesal dengan kelewatan dalam pelaksanaan keduadua projek tersebut yang saling berkaitan dan sangat diharapkan oleh rakyat.
“Tidak dapat dinafikan, saya sedih melihat Masjid Darul Ihsan roboh oleh ombak besar,” katanya kepada Suara Sarawak.
Beliau berharap kerajaan dapat bertindak sewajarnya kerana masjid baharu telah diluluskan sejak 2016 dengan mengetepikan birokrasi yang meremehkan.
“Agensi bertanggungjawab harus berganding bahu supaya proses tender dapat dilakukan segera, maka kerja-kerja pembinaan juga dapat dilakukan secepat mungkin.
“Saya telah meminta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dan Jawatankuasa Pengurusan (JKP) masjid meroboh masjid tersebut supaya barang-barang yang masih dapat digunakan tidak semuanya terjun ke laut,” ujarnya.
Menyentuh isu benteng, Razaili juga memaklumkan pihaknya telah berusaha. “Kita memang mengharapkan peruntukan yang dijanjikan oleh Kerajaan BN sebelum ini untuk membina struktur binaan yang lebih kukuh, tetapi ia ditangguh oleh Kerajaan PH.
“Walaupun kerajaan sekarang bersetuju projek diteruskan tetapi ekoran PKP tempoh hari, ia masih tertangguh hingga hari ini… belum lagi dibuat,” jelasnya.
Beliau akan berusaha sebaik mungkin untuk memastikan keduadua projek dapat digerakkan dengan segera. Sementara itu Ketua Kampung Semarang Suria Azmie memberitahu, penduduk kampung masih melakukan gotongroyong.
Tambahnya, pihak Pejabat Agama Islam Bahagian Betong ketika turun padang semalam turut mengarahkan penduduk menggunakan Surau an-Nur sebagai masjid buat sementara waktu.
“Untuk meroboh masjid sepenuhnya, kami masih menunggu arahan daripada pihak atasan. “Cuma, barang-barang yang dapat dielamatkan telah dialihkan ke dewan dan surau,” katanya.
Suria menyokong gesaan Razaili agar kerajaan mempercepatkan pelaksanaan projek benteng dan masjid baharu di Kampung Semarang.
Dalam perkembangan sama, Menteri Muda Perancangan Bandar, Pentadbiran Tanah dan Alam Sekitar Datuk Len Talif Salleh sempat singgah meninjau keadaan Masjid Darul Ihsan.
Beliau yang dalam rangka turun padang meluangkan masa setengah jam untuk melihat sendiri keadaan masjid itu. Adun Kuala Rajang itu turut menghulurkan sumbangan peribadi bagi membantu penduduk bergotong-rotong membersih serpihan masjid yang roboh di sekitar lokasi kejadian.