KUCHING: Pindaan ke atas Ordinan Buruh Sarawak harus disegerakan untuk kepentingan pekerja di Sarawak agar tidak terus ditindas.
Ahli Parlimen Stampin, Chong Chieng Jen berkata walaupun Akta Kerja 1955 (Pindaan) 2022 telah berkuat kuasa di Semenanjung Malaysia, tetapi sampai sekarang Ordinan Buruh Sarawak masih belum dipinda untuk menyelaraskan hak-hak pekerja di Sarawak.
“Ordinan Buruh Sarawak adalah satu undang-undang persekutuan tetapi perkara berkaitan pekerja adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, iaitu satu autonomi Sarawak.
“Saya ingin tahu, kenapa sampai hari ini, Ordinan Buruh Sarawak belum dipinda supaya sama hak dan faedah diberi kepada pekerja di Sarawak,” katanya dalam perbahasan sempena persidangan Parlimen, hari ini.
Menjelas lanjut, Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Sarawak itu berkata kini, seorang pekerja di Sarawak yang berupah lebih daripada RM2,500 tidak akan menikmati apa-apa perlindungan di bawah Ordinan Buruh Sarawak atau Akta Pekerja.
“Malah, majikan tidak diwajipkan untuk membayar mereka bekerja lebih masa, manakala di Semenanjung, hanya pekerja yang menerima gaji bulanan lebih daripada RM4,000 tidak dilindungi di bawah Akta Pekerja. Pekerja Wanita di Sarawak pun tidak menikmati cuti bersalin selama 90 hari.
“Saya ingin tahu, apakah halangan kepada pindaan Ordinan Buruh Sarawak dan siapakah yang menghalangnya?” soalnya.
Sementara berhubung isu perbelanjaan Kerajaan Persekutuan, Chong menggesa kerajaan untuk membentangkan pengembangan bajet dan meningkatkan perbelanjaan pembangunan pada Oktober nanti.
Seterusnya, beliau berkata kerajaan juga harus mempercepatkan pembayaran dana kepada kontraktor yang telah membuat kerja kontrak untuk kerajaan.
Katanya ia kerana sejak kebelakangan ini, kerajaan telah mengurangkan bajet untuk kerja kontrak kerajaan serta lambat dalam pengeluaran duit di bawah bajet tersebut.
“Kontraktor perlu menunggu berbulan-bulan selepas kerja siap tetapi bayaran masih belum dapat dijelaskan.
“Malah Premier Sarawak pada Julai tahun ini secara terbuka telah mengutuk Kerajaan Persekutuan kerana membuat pengeluaran peruntukan persekutuan secara lewat untuk membaiki sekolah usang di Sarawak,” katanya.