KEMBARA Kenali Borneo Yang di-Pertuan Agong dan rombongan 3-13 September lepas mempunyai makna yang sangat signifikan dengan Sarawak menjadi tuan rumah bagi sambutan Hari Malaysia ke-60 berlangsung Sabtu, semalam. Perjalanan YDP Agong bersamasama Permaisuri Agong dan keluarga serta rombongan sejauh 2,154 kilometer bermula dari Tawau, Sabah dan berakhir di Telok Melano, Sarawak, merentasi Lebuh Raya Pan Borneo.
Kembali di Istana, Agong menzahirkan rasa sukacita dan syukur dapat menyempurnakan impian Baginda berdua mendekati rakyat Sarawak dan Sabah menerusi program kembara tersebut.
Baginda menzahirkan terima kasih kepada seluruh rakyat Sarawak dan Sabah atas sambutan hebat yang diberikan sepanjang pengembaraan menelusuri Lebuh Raya Pan Borneo tanpa mengira penat lelah, termasuk pada lewat malam serta dalam keadaan cuaca panas terik atau hujan lebat.
Baginda mengaku pengalaman menyaksikan manifestasi kasih rakyat, semangat perpaduan, kepelbagaian budaya serta etnik dan keindahan landskap semula jadi di kedua-dua negeri terpahat di hati Seri Paduka Baginda berdua dan keluarga sebagai kenangan manis yang tidak dapat dilupakan.
Lebih manis, menurut Agong dalam kenyataannya dari istana, program kembara banyak memberi peluang Baginda mengeratkan silaturahim antara Semenanjung Malaysia, dengan Sarawak dan Sabah, selain merealisasi semangat “Raja dan Rakyat Berpisah Tiada”.
Baginda berdua mendoakan semoga rakyat Sabah dan Sarawak dilindungi serta dipelihara Allah SWT dan agar Sarawak dan Sabah kekal makmur, maju jaya dengan rakyatnya juga kekal hidup dalam semangat perpaduan, aman dan sentosa.
Bersempena sambutan Hari Malaysia yang diraikan pada 16 September 2023, Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong turut mengambil kesempatan menyeru seluruh rakyat menghayati dan menjiwai prinsip Rukun Negara yang merupakan asas perpaduan nasional dan pembentukan identiti bangsa Malaysia.
KEPELBAGAIAN
Baginda turut bertitah, lima teras prinsip Rukun Negara merupakan formula bagi rakyat berbilang kaum, agama, budaya dan bahasa boleh mengatasi segala perbezaan dan kepelbagaian serta hidup secara rukun dan damai.
Jelas sekali program kembara keluarga diraja di Borneo itu memberi makna mendalam bagi erti kemerdekaan negara keseluruhannya. Sementelahan, bagi wilayah Sarawak dan Sabah, sesungguhnya Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa dan tanggungjawab signifikan iaitu sebagai pelindung kedudukan istimewa orang Melayu dan peribumi Sarawak serta Sabah, selain melindungi kepentingan komuniti lain.
Baginda ialah ketua agama Islam bagi negeri baginda sendiri serta negeri tidak bersultan seperti Sarawak dan Sabah termasuk Melaka, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan. Dalam politik semasa Kerajaan Perpaduan, Agong sangat jelas memainkan peranan baginda mencapai tahap perpaduan.
SANGAT BERMAKNA DAN SIGNIFIKAN
Rakyat Sarawak dan Sabah menghargai kunjungan Raja dan Permaisuri, bahkan rakyat turut teruja mendekati putera dan puteri raja yang dikatakan berjiwa rakyat sebagaimana didikan ayah dan bonda serta istana.
Bersempena Hari Malaysia ke-60 yang dikaitkan signifikan dengan kembara tersebut bertepatan sekali dengan cogan kata perpaduan dalam frasa bahasa Iban “Segulai Sejalai” yang bermaksud seiring sejalan serta sesuai dengan tema sama Hari Kebangsaan 2023 iaitu “Malaysia MADANI: Tekad Perpaduan Penuhi Harapan”
AGENDA 16 SEPT CINTA MENDALAM
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyeru seluruh rakyat menghayati semangat Hari Malaysia tahun ini dengan rasa cinta mendalam terhadap negara, sikap ihsan dan kasih sayang serta perteguh perpaduan antara kaum.
Menerusi catatan di Facebooknya, Anwar yakin negara ini kuat dan mampu melonjak ke depan sekiranya seluruh rakyat berani menolak sikap prasangka dan memupuk persefahaman serta kasih sayang.
“Tautkan kembali ikatan persaudaraan dan keakraban kaum yang pelbagai di Malaysia. Hentikan sentimen 3R (raja, agama, dan kaum) yang hanya menjadi ancaman kepada perpaduan negara,” ujar Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof di Facebook beliau.
Beliau mengajak seluruh rakyat Malaysia bersama-sama memperkukuh ikatan persaudaraan serta keakraban kaum yang pelbagai di negara ini sebagai usaha menghayati dan meraikan penubuhan Malaysia dengan penuh rasa bangga dan berjiwa bangsa.
Bagi Fadillah, semangat persaudaraan yang kukuh mampu memperkuat integrasi nasional dengan erti merdeka sebenar antara Tanah Melayu, Sabah dan Sarawak. Menurut Fadillah lagi, kerjasama dan perpaduan perlu dibina bersama oleh semua kaum tanpa rasa curiga dan iri hati kerana perjalanan untuk mencapai kemajuan dan kemakmuran tidak boleh dilakukan secara bersendirian.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi juga turut mengajak rakyat menghayati erti sambutan Hari Malaysia yang bersejarah.
Menulis di Facebook, beliau berkata walaupun kita lahir pelbagai dan berbeza latar belakang, tidak bermakna ia menjadi kekangan untuk kita mengekalkan keharmonian yang utuh terjalin dalam kalangan keluarga besar kita.
UCAPAN SELAMAT
Kemerdekaan Malaysia juga sangat bermakna di mata dunia sehingga ketua-ketua perwakilan asing di negara ini menyampaikan ucapan selamat kepada Malaysia sempena Hari Malaysia ke-60. Duta Jepun ke Malaysia Takahashi Katsuhiko berkata, kekayaan budaya dan kepelbagaian Malaysia secara konsisten memikatnya sejak beliau ditempatkan di sini pada 2021.
Rakyat, pemandangan, makanan dan bahasa semuanya bersatu, menambah kepada kepelbagaian berwarna-warni yang menentukan Malaysia yang kita lihat hari ini. Dekan Ketua Perwakilan Afrika yang juga Duta Somalia ke Malaysia Abukar Abdi Osman dalam menyampaikan ucapan tahniah kepada Malaysia berkata: “Saya mengucapkan semua rakyat Malaysia pada hari yang penuh dengan kegembiraan, kebanggaan, dan perpaduan ketika anda meraikan kepelbagaian dan kemajuan negara anda.”
Dari Ankara, Menteri Pertahanan Turkiye Yasar Guler pada majlis sambutan Hari Kemerdekaan Malaysia yang ke-60 di ibu negara Turkiye berkata, hubungan Turkiye-Malaysia berasaskan hubungan sejarah dan budaya serta prinsip kasih, hormatmenghormati dan kerjasama terjalin sejak 1964.
Sebagai anggota PBB, Pertubuhan Kerjasama Islam dan D-8, Turkiye dan Malaysia berkongsi perspektif yang sama mengenai pelbagai isu serantau dan global. Semoga simbol kembara YDP Agong menjadi laluan merapatkan semula apa-apa jurang yang mungkin menjarakkan hubungan SemenanjungSarawak-Sabah dan hari ini rakyat Malaysia haruslah “segulai sejalai” mengetepikan semua perbezaan termasuk ras, adat, agama dan fahaman politik.
