KUCHING: Mawat mengukir nama dalam sejarah industri muzik negara apabila dinobatkan sebagai penerima pertama Anugerah Lagu Borneo Terbaik pada Anugerah Industri Muzik ke-25 (AIM25) yang berlangsung di Borneo Convention Centre Kuching (BCCK), malam tadi.
Kemenangan menerusi karya Dayang Bintang, menjadikan Mawat, artis pertama merangkul kategori baharu yang diperkenalkan buat julung kalinya dalam sejarah AIM.
Beliau sekali gus mengangkat bahasa, budaya dan identiti muzik Borneo ke pentas anugerah nasional.
Mawat mengatasi empat lagi calon akhir iaitu Elica Paujin (Potilombuson), Eylia Guntabid (Sumanwagu – Sumandak Tanakwagu), Julai Billie (Nadai Dua Tiga), dan Den Bisa (Lampa-Lampa Pisang).
Anugerah Lagu Borneo Terbaik diwujudkan sebagai kategori baharu bagi mengiktiraf karya yang mengetengahkan elemen, bahasa dan warisan budaya Borneo, sekali gus membuka ruang lebih luas kepada bakat dari Sabah dan Sarawak menerima pengiktirafan di peringkat nasional.
Lebih bermakna, detik bersejarah itu berlangsung sempena AIM25 edisi Jubli Perak, yang juga buat pertama kalinya diadakan di Sarawak—menjadikan kemenangan Mawat, simbol pengiktirafan baharu terhadap suara dan kepelbagaian muzik Borneo.
Sebagai penganjur bersama dan penyiar rasmi AIM25, TVS membawakan detik bersejarah ini secara langsung dari BCCK kepada penonton di seluruh Malaysia menerusi Saluran 122 dan aplikasi TVS Inspire.
Anugerah disampaikan oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.





