KUCHING: Sejarah, tradisi lisan dan warisan semua komuniti di Sarawak perlu didokumentasikan secara menyeluruh bagi mengelakkan khazanah budaya negeri ini hilang ditelan zaman.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Murum, Kennedy Chukpai Ugon berkata, penubuhan arkib memorial di bawah Perpustakaan Negeri Sarawak penting untuk memelihara sejarah dan identiti masyarakat, khususnya komuniti pribumi.
Usaha itu tidak seharusnya terhad kepada sumbangan tokoh terkenal dan peristiwa bersejarah, sebaliknya perlu merangkumi kisah kehidupan, adat resam serta pengalaman masyarakat biasa di seluruh negeri.
Banyak pengetahuan sejarah dan kebudayaan masyarakat pribumi, terutama di kawasan luar bandar dan pedalaman, masih diwariskan secara lisan, sekali gus berisiko hilang apabila golongan tua menjadi sumber pengetahuan tradisional meninggal dunia.
Menurutnya, kehilangan itu boleh menyebabkan maklumat berharga berkaitan sejarah, bahasa, adat dan amalan masyarakat tidak sempat direkodkan untuk rujukan generasi akan datang.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang (RUU) Perpustakaan Negeri Sarawak (Pindaan) 2026 pada Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, di sini, hari ini.
Sehubungan itu, Kennedy menggalakkan Perpustakaan Negeri Sarawak bekerjasama dengan pertubuhan kebudayaan, institusi pendidikan dan pemimpin masyarakat mendokumentasikan warisan berkenaan menggunakan teknologi pengarkiban dan pendigitalan moden.
Beliau yang mewakili kawasan Murum turut menegaskan kepentingan memelihara warisan masyarakat Orang Ulu, Iban, Bidayuh dan komuniti pribumi lain sebagai sebahagian daripada identiti bersama rakyat Sarawak.
Bagaimanapun, katanya, usaha pendokumentasian itu perlu menghormati sensitiviti budaya, hak adat dan kepentingan komuniti terlibat bagi memastikan warisan berkenaan dipelihara secara bertanggungjawab.




