Sejarah Sarawak dalam buku teks

Sememangnya buku teks sejarah menimbulkan minat kepada semua orang untuk mengetahui isi kandungannya. Malah, kita di Sarawak juga amat prihatin dengan apa-apa yang dituliskan di dalam buku teks.

Hal ini mungkin kerana suntikan semangat penduduk Sarawak dengan pelbagai isu tentang hak negeri Sarawak memberi semacam tenaga untuk meneliti buku sejarah ini.

Dua perkara yang sering diketengahkan oleh peminat buku teks ialah kurangnya perbincangan sejarah Sarawak dan kesilapan fakta.

Dua perkara ini sering berlegar-legar dalam kotak pemikiran kerana sejarah harus bersifat menyeluruh tanpa meninggalkan hal penting.

Memang terdapat beberapa perkara yang perlu dibetulkan dalam buku teks tersebut. Ini kerana sejarah buku teks dianggap oleh segelintir kita di Sarawak lebih kepada sejarah orang Malaya. Amat kurang penulisan atau liputan tentang sejarah Sarawak.

Bantahan

Manakala ada beberapa faktanya pula terdapat kesalahan dari segi nama, maksud dan rujukan. Oleh itu, berlakulah bantahan kepada pihak Kementerian Pendidikan kerana buku teks harus melakukan apa-apa yang perlu diketengahkan oleh mereka.

Memang diakui terdapat beberapa kesilapan dilakukan oleh penulis tentang buku teks seperti yang berlaku pada buku teks terdahulu berkenaan dengan pengebumian masyarakat Murut di Sabah.

Begitu juga dengan kesilapan meletak gambar rumah Bidayuh.

Ya, mungkin kesilapan ini berlaku dalam kalangan penulis tetapi kita harus sedar penulis buku teks menghadapi banyak dilema untuk menulis tentang sejarah Sarawak dan juga Sabah.

Dilema ini dikaitkan dengan sukarnya mendapat maklumat maklumat jelas sejarah Sarawak khususnya tentang budaya dan masyarakatnya. Tidak banyak buku autoriti dapat dijadikan rujukan.

Sejarah Sarawak tidak banyak ditulis dan dikaji. Hanya terdapat beberapa buku yang diterbitkan tentang sejarah.

Kita perlu berterima kasih atas usaha mereka ini tetapi ada juga tulisan yang tidak mengikut kaedah sejarah yang betul.

Hal ini menyebabkan berlaku ketempangan dalam penulisan sejarah. Akhirnya menyebabkan faktanya dapat dipersoalkan.

Oleh sebab kekurangan itu, ia menimbulkan keterbatasan untuk menulis dan mendapat fakta yang jelas. Sesetengah buku mempunyai berlainan pendapat tentang soal sejarah dan budaya.

Hal ini lebih memeningkan penulis kerana fakta sebenar tentang sesuatu isu dan perkara itu berlainan daripada satu kumpulan kepada kumpulan tertentu.

Jikalau diambil A sebagai fakta dalam buku teks, timbul pula ketidaksetujuan tentang fakta itu kerana pengkritik akan percaya kepada fakta B lebih tepat. Jikalau timbul pula fakta C bagaimana pula akan kita selesaikan hal ini.

Konsesus antara mereka tidak wujud. Hal ini berterusan sehingga menimbulkan polemik sama ada ia patut atau tidak.

Contohnya, usaha memasukkan tarikh kemerdekaan Sarawak pada 22 Julai 1963. Sejauh manakah tafsiran ini betul?

Pihak tertentu mungkin mengatakan ia betul, tetapi ada pihak tidak melihat hal ini betul kerana mereka ada bukti jelas ia memang tidak betul. Hal ini akan saya dalami pada kolum akan datang.

Merumitkan

Tambah merumitkan apabila menyentuh soal budaya. Ini kerana satu kaum itu mempunyai keistimewaannya tetapi banyak tidak ditulis tentang hal ini.

Ini kerana rahsia sesuatu kaum di Sarawak masih lagi dalam lisan dan belum banyak dibukukan serta disahkan. Oleh itu, kalau ada penulisannya ia tidak banyak dan mempunyai pelbagai pendapat.

Hal ini merumitkan kerana ia membawa kritikan di pihak tertentu kerana ia salah bagi mereka.

Berbalik kepada dominasi penulisan buku sejarah yang sebahagian besarnya sejarah orang Malaya ia tidak dapat dipertikaikan. Kerana sumber dan karya tentang sejarah di Semenanjung Malaysia dapat dianggap banyak.

Malah, jabatan sejarah di beberapa buah universiti di Semenanjung mempunyai pakar tentang sejarah Semananjung Malaysia. Mereka juga melakukan aktiviti akademik seperti seminar dan persidangan bagi mewujudkan konsesus dan perbincangan.

Lebih Prolifik

Dengan kata lain, mereka lebih prolifik dalam penghasilan karya sejarah mereka. Senang penulis mereka menulis sejarah Semenanjung yang banyak bahannya.

Oleh itu, Sarawak perlu lebih kehadapan dalam hal ini agar dapat mengatasi masalah kekurangan sejarah dan kesilapan fakta sejarah.

Kita harus membina buku teks Sejarah Malaysia itu bersama-sama rakan kita di Semanjung dan juga Sabah bagi menunjukkan buku teks sejarah yang dihasilkan itu memang buku teks yang menyeluruh untuk kita semua.

Dengan kata lain, kita di Sarawak perlu memperkasa ilmu sejarah dan budaya masyarakat dengan mewujudkan jabatan sejarah agar ia mampu memberi ruang lebih banyak bagi penulisan dan dialog sejarah yang lebih berkesan.

Malah, pihak kerajaan sama ada negeri ataupun pusat dan NGO seperti Persatuan Sejarah Malaysia cawangan Sarawak juga dapat membantu meningkatkan penulisan dengan memberi bantuan kewangan tentang penyelidikan dan seminar sejarah Sarawak. Hal ini mampu mengatasi permasalahan buku teks sejarah Malaysia.

• Dr. Suffian Mansor ialah pensyarah kanan Sejarah di Universiti Kebangsaan Malaysia.

 

Kredit Foto: Kwiknews