Sejumlah lebih RM50 juta telah diagihkan kepada rakan AIM

BINTULU: Sehingga November lalu, sejumlah RM50,109,580 pembiayaan telah diagihkan kepada rakan Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia(AIM) Wilayah Utara.

Penolong Pengurus AIM Wilayah Utara, Wahi Bolhi berkata Wilayah Utara merangkumi lima cawangan iaitu Lawas, Limbang, Miri, Niah dan Bintulu dengan bilangan Sahabat AIM lebih 10,189 orang.

Daripada jumlah tersebut, katanya, RM 10,205,000.00 diperuntukan kepada Cawangan Bintulu yang mana pengeluaran kepada Sahabat AIM Bintulu setakat November lalu berjumlah RM9,732,500.00 dan berbaki
RM472,500.00.

Bahagian Bintulu merangkumi Samalaju sehingga Tatau termasuk Sungai Asap, Sebauh, Jepak, Tatau dan Bandar Bintulu, ujarnya ketika berucap pada program ‘Nay Telow Penyak Qelem Sakai Sahabat 2019 anjuran Kelab Wanita Ikhtiar Bintulu di Restoran Dinner World, di sini, malam semalam.

Menurut Wahi, Sahabat Bintulu menunjukkan pencapaian bayaran balik 100 peratus sekali gus
membuktikan kejayaan mengunakan modal yang diberikan dalam meningkatkan perniagaan mereka sehingga mampu membayar balik dengan baik.

Program ‘Nay Telow Penyak Qelem Sakai Sahabat 2019 disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Samalaju, Majang Renggi dan turut dihadiri Pegawai Khas Kepada Ahli Parlimen Bintulu, Azman Abdul Rahman serta Pengurus Cawangan AIM Bintulu, Mohammad Idris Rapaie dan pengerusi Kelab Wanita Ikhtiar Bintulu, Rabiah Kameri.

Ia antara lain bertujuan bagi menghargai dan memberi penganugerahan kepada Sahabat, pusat AIM yang cemerlang menjaga disiplin kredit seperti bayar balik, disiplin guna modal, disiplin perniagaan dan disiplin kehadiran sepanjang tahun 2019.

Selain itu, penganjuran program itu juga bagi mengeratkan silaturahim antara Sahabat AIM serta meningkat jaringan perniagaan antara mereka.