Sejumlah RM382,498.40 rokok dan minuman keras pelbagai jenis tidak bercukai dirampas

KUCHING: Dua lelaki warga tempatan ditahan bagi membantu siasatan terhadap penemuan sejumlah RM382,498.40 rokok dan minuman keras pelbagai jenis tidak bercukai di sebuah premis.

Komander Pasukan Polis Marin Wilayah Lima (PPM W5) Sarawak ACP Shamsol Kassim berkata, kesemua barangan terbabit ditemui disembunyikan di dalam dan juga pada bahagian stor yang terletak belakang premis berkenaan.

Dedahnya, serbuan sempena Op Benteng Covid-19 (Landai) itu dijalankan pasukannya di kawasan berhampiran Stakan Central, Jalan Stakan sekitar jam 4.15 semalam.

“Hasil pemeriksaan di premis tersebut menemui rokok kretek dan putih berjumlah 72,101.60 termasuk cukai.

“Turut ditemui minuman keras jenis bir dan arak tidak bercukai masing-masing berjumlah RM75,358.80 dan RM302,596.80,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, kedua-dua suspek ketika disoal siasat gagal menunjukkan sebarang dokumen daripada pihak Kastam Diraja Malaysia (JKDM) sebagai sokongan.

Susulan itu katanya kesemua barang rampasan serta suspek telah dibawa ke pangkalan PPM W5 Kuching.

Katanya, kes akan diserahkan kepada pegawai penyiasat Balai Polis Kota Sentosa untuk diberi tindakan siasatan lanjut di bawah Akta Kastam 1967.

BANYAK… Rokok dan minuman keras pelbagai jenis yang dirampas hasil serbuan PPM W5 Kuching di Jalan Stakan semalam

Suara Sarawak