Sejumlah RM450,100 diagihkan untuk projek kebajikan di DUN Kakus

TATAU: Dua belas rumah panjang dalam kawasan Dewan Undangan Negeri(DUN) Kakus menerima Projek Kecil Luar Bandar di bawah Program Penambahbaikan Rumah Rakyat Miskin Sarawak (MRP-PPRMS) membabitkan keseluruhan sebanyak RM450,100.00.

Acara ringkas penyerahan projek telah disempurnakan oleh Menteri Muda di Jabatan Ketua Menteri (Undang – Undang dan Adat Bumiputera), Datuk John Sikie anak Tayai bertempat di Pejabat Gabungan Parti Sarawak, DUN N60 Kakus.

Dalam ucapan ringkasnya, John Sikie berkata projek tersebut merupakan Fasa 1 bagi tahun 2019 dalam bentuk bahan binaan seperti atap spendek, batu bata, dan simen.

Menurut beliau, projek ini adalah daripada kerajaan negeri dibawah pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Projek diagihkan secara berperingkat – peringkat dan keutamaan kepada rumah – rumah panjang yang lebih memerlukan untuk diperbaiki segera atau yang masih dalam pembinaan,katanya.

Kawasan DUN Kakus merupakan kawasan yang luas dan meliputi lebih 400 buah rumah panjang dan bantuan akan diteruskan secara berperingkat- peringkat,ujarnya lagi.

Beliau yang juga ADUN Kakus menambah kata, telah disenaraikan penerima bantuan yang serupa bagi Fasa 2 2019, dan diteruskan lagi bantuan yang sama pada tahun 2020.

Beliau berharap dengan adanya bantuan seumpama itu, penduduk dapat melaksanakan kerja – kerja penambahbaikan rumah panjang atau kampung dengan lebih lancar terutamanya secara bergotong royong.

Bantuan tersebut, tambahnya lagi, jelas membuktikan bahawa kerajaan dibawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg adalah kerajaan yang menepati janji demi menjaga kesejahteraan rakyat.

Kira kira 150 orang terdiri daripada ketua masyarakat dan kaum termasuk ahli jawatankuasa keselamatan dan kemajuan kampung dan rumah panjang sekitar DUN Kakus hadir.

Suara Sarawak