ARTIKEL

Sekali angkat 200 kilogram

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

BUAH dabai atau nama saintifiknya canarium odontophyllum adalah buah yang amat terkenal di khususnya di Sarawak.

Seperti durian, buah dabai hanya berbuah ikut musim dan harganya boleh mencecah RM50 sekilo atau lebih mahal jika awal musim.

Dabai juga dikenali buah zaiton Sarawak malah digelar kurma Borneo kerana bentuk dan warnanya yang seakan-akan sama walaupun rasanya sangat berbeza.

Bagi Noorharyanni Hendry, 25 dia mula menjadikan dabai sebagai satu perniagaan setelah menggilai buah itu ketika hamil.

Noorharyanni berkata, ketika hamil dia amat suka makan dabai sehinggakan mendatangkan minat menjual sendiri buah dalam talian.

NOORHARYANNI HENDRY

“Saya mendapat bekalan dari kampung di Simunjan. Sekali angkat, saya akan mengambil lebih daripada 100 kilogram untuk dijual kepada pelanggan,” katanya kepada Suara Sarawak.

Katanya, sambutan perniagaan dabainya itu agak luar biasa.

Malah katanya, dia sendiri tidak sangka ramai yang mencari buah dabai tersebut.

“Saya tidak menduga sambutan pelanggan kerana saya baru sahaja menjalankan perniagaan ini,” jelasnya.

Noorharyanni menambah, dari segi harga pula, dia menjual buah dabai mengikut gred buah itu sendiri.

“Jika saiz buahnya kecil, saya akan menjual dengan harga yang lebih murah. Dan jika saiz buah dabai itu besar, harganya akan sedikit berbeza,” ujarnya.

Jelasnya, ini kerana harga borong untuk buah dabai itu turut berbeza mengikut gred.

“Paling rendah, saya jual RM22 bagi 500 gram (g) dan RM40 hingga RM45 untuk sekilo,” tambahnya.

Susulan sambutan yang menggalakkan, Noorharyanni mendedahkan ramai pelanggannya membeli sekitar sekilo atau lebih.

“Ada juga yang membeli 500 gram sahaja. Ramai yang membeli lebih daripada sekilo,” katanya lagi.

Ketika ditanya mengenai kaedah penjualan buah dabai pula, Noorharyanni menjelaskan dia menjual dalam talian dan membuat perkhidmatan penghantaran ke rumah pelanggan.

Meskipun dia membuat penghantaran ke rumah, namun terdapat pelanggan yang sanggup datang sendiri ke rumahnya untuk mengambilnya.

“Kadangkala saya akan caj mengikut tempat. Selain di Kota Samarahan, saya juga membuat penghantaran ke Kuching.

“Namun tempahan pelanggan di kawasan Kuching saya terpaksa hadkan kerana saya menghantarkan tempahan menggunakan perkhidmatan Grab,” ujarnya lagi.

Noorharyanni mengakui, dalam perniagaan juga mempunyai cabaran tersendiri terutama apabila berhadapan dengan pelanggan.

“Kadangkala ada dalam kalangan pelanggan yang tidak sabar menunggu penghantaran ke rumah mereka.

“Saya perlu menghantar ke banyak lokasi dan dengan keadaan hamil, saya tidak dapat mempercepatkan penghantaran ke semua tempat.

“Namun ada yang membatalkan pembelian, saya akan menjual buah dabai itu kepada pelanggan lain,” luahnya.

Selain pelanggan yang tidak sabar, Noorharyanni juga mendedahkan terdapat pelanggan yang tidak membayar.

Bagaimanapun katanya, itu semua sudah menjadi asam garam dalam perniagaan.

Sementara itu, salah seorang peniaga buah-buahan di Pasar Bandar Riyal di sini, Diana David 31, memberitahu dia mengambil bekalan dabai daripada pembekal yang dikenali termasuk daripada Indonesia, Sibu dan Sarikei.

“Saya akan mengambil dalam 100 kilogram hingga 200 kilogram untuk sekali angkat.

Saya tidak berani mengambil lebih kerana ia tidak tahan lama dan cepat lembik.

“Dalam 200 kilogram yang diambil, selalunya dalam 10 kilogram sahaja tidak terjual dan akan dijadikan hidangan keluarga atau dilelong kepada pelanggan,” jelasnya.

Menurut Diana, walaupun Covid-19, permintaan daripada orang ramai di sekitar Kuching dan Samarahan tinggi kerana aktiviti merentas daerah masih tidak dibenarkan dan tidak banyak buah dabai terdapat di kawasan ini.

DIANA DAVID

Seperti Noorharyanni, Diana juga menjelaskan, harga jualan dabainya mengikut gred.

“Pembekal yang menghantar bekalan juga meletakkan harga mengikut gred.

“Harga jualan kepada pelanggan juga tidak terlalu mahal, kerana tidak semua peminat buah dabai mampu membeli dabai dengan harga yang mahal,” jelasnya sambil memberitahu ramai dalam kalangan pelanggannya membeli buah dabai sekitar 500 gram hingga 1 kilogram.

Dari segi kaedah jualan, Diana lebih selesa untuk menjual buah dabai secara terus di pasar Bandar Riyal di sini.

Bukan itu sahaja, penghantaran ke rumah pelanggan akan dilakukan terutama bagi pelanggan yang jauh dari Bandar Riyal dengan menggunakan perkhidmatan Grab.

Selain dabai, Diana turut menjual buah-buahan dan sayuran lain di sini sejak enam tahun yang lalu.

Diana menambah, sudah tentu banyak cabaran semasa menjual buah dabai terutama sekali apabila harga buah tersebut dilihat begitu mahal ketika ini.

“Ada segelintir pelanggan terkejut apabila melihat harga begitu mahal, ada juga yang hanya memegang dan berasa tidak yakin untuk membeli.

“Namun sebagai peniaga, kami tidak mengambil hati kerana pelanggan menjadi keutamaan kami,” luahnya. Rasa berlemak buah dabai menyebabkan buah ini mempunyai penggemarnya sendiri.

Ada sesetengah peminat suka untuk makan buah dabai dengan menggunakan kicap, gula atau garam setelah direndam hingga lembik.

Bagi salah seorang penggemar dabai, Carolyn Philip mengakui harga ketika ini masih mahal dan tidak mampu untuk dibeli dalam kuantiti begitu banyak.

Namun, dia membeli sedikit hanya untuk memuaskan hati menikmatinya.

“Saya lebih suka makan buah dabai dengan meletakkannya di dalam plastik, kemudian dijemur di luar.

“Kehangatan panas akibat cahaya matahari terik menyebabkan rasanya berbeza berbanding direndam dengan air panas,” jelasnya.

Selain dimakan secara biasa, buah dabai turut dihasilkan sebagai produk makanan lain seperti keropok dabai, dabai sejuk beku, jus, pes dabai, aiskrim dan sebagainya.

Pelanggan yang ingin membeli dabai khususnya di kawasan Kota Samarahan boleh menghubungi Noorharyanni di talian 011- 12678105 atau datang terus ke pasar Bandar Riyal untuk membeli dabai jualan Diana di gerainya.

BERITA LAIN

Projek naik taraf lima jalan di Meradong siap

BINTANGOR: Penduduk lima penempatan di Meradong kini menikmati kemudahan yang lebih selesa apabila pelaksanaan lima Projek Mesra Rakyat (PMR) membabitkan kerja baik pulih jalan raya

BERITA TERBARU

Projek naik taraf lima jalan di Meradong siap

BINTANGOR: Penduduk lima penempatan di Meradong kini menikmati kemudahan yang lebih selesa apabila pelaksanaan lima Projek Mesra Rakyat (PMR) membabitkan kerja baik pulih jalan raya